BUKIT MERTAJAM – Polis menumpaskan dua kumpulan yang disyaki memproses dan menjual air ketum selepas menahan seramai 11 lelaki dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Bukit Teh di sini kira-kira pukul 5.45 petang, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun.
Menurut beliau, pemeriksaan di dalam bilik air di rumah itu menemukan sebuah tong ais mengandungi 48 bungkusan cecair dipercayai air ketum bernilai RM480.
Tambahnya, air ketum itu dipercayai diproses oleh suspek sebelum dijual kepada pelanggan tetap di sekitar kawasan ini.
“Mereka didapati menjual air itu kepada pelanggan tetap sahaja di sekitar kawasan Bukit Mertajam bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Tok Elong kira-kira pukul 7.30 petang, pihaknya menahan lapan lelaki berusia 21 hingga 43 tahun.
Tambah beliau, pemeriksaan di dalam rumah milik salah seorang daripada suspek menemukan sebanyak 28 bungkusan cecair dipercayai air ketum bernilai RM280 yang telah siap diproses dan untuk dijual.
Ujarnya, selain dijadikan tempat memproses air ketum, rumah itu turut dijadikan sebagai ‘port’ kepada pelanggan sindiket berkenaan untuk meminum air ketum.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua kumpulan ini memperoleh bekalan daun ketum dari negeri jiran sebelum memprosesnya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE











