BUTTERWORTH – Seramai dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 27 tahun yang aktif melakukan jenayah pecah kereta di Bukit Katak, Tasek Gelugor di sini ditahan polis ketika sedang melakukan kegiatan itu semalam.
Dengan penahan dua lelaki Geng Frog Hill itu, polis yakin dapat menyelesaikan sebanyak lapan kes pecah kereta yang diletakkan di kawasan rekreasi dan riadah yang menjadi tumpuan ramai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek ditahan dalam serbuan menerusi Ops Cermin Aidilfitri kira-kira pukul 5 petang selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, penahanan kedua-dua lelaki itu juga hasil risikan dan intipan selama seminggu di kawasan letak kereta di kawasan berkenaan selepas polis menerima laporan kekerapa kes pecah kereta di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati suspek terlibat dalam lapan kes pecah kereta yang dilaporkan pada April lalu hingga bulan ini.
“Mereka menggunakan peralatan khas iaitu palam pencucuh untuk membuka pintu kereta sebelum melarikan barangan berharga seperti komputer riba,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini hari ini.
Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya kini sedang giat memburu seorang lagi ahli kumpulan tersebut yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan itu dan masih bebas.
Menurutnya, dalam serbuan itu juga, pihaknya merampas pelbagai barangan untuk siasatan lanjut iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga BLM; kad pengenalan; lesen memandu dan kad bank disyaki milik mangsa serta resit pajak gadai.
“Suspek yang masing-masing mempunyai pelbagai rekod lampau itu direman selama tujuh hari bermula semalam bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis turut menahan empat lelaki Geng Y15 berusia 19 hingga 28 tahun di beberapa lokasi di Tasek Gelugor di sini semalam selepas disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes curi motosikal di sekitar daerah SPU dan Tikam Batu, Kedah ketika hari raya baru-baru ini.
“Dalam operasi itu, kita turut merampas dua buah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang dilaporkan hilang selain sedang mendapatkan semula lapan buah motosikal lain yang dipercayai dicuri sindiket ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











