BUTTERWORTH – Sebanyak 132 lagi kontena baharu yang berisi bahan sisa plastik yang tidak mempunyai permit import (AP) serta tidak dituntut diterima di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini sejak 1 Jun lalu sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri, Datuk Saidi Ismail berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak 397 kontena bahan sisa plastik masih tersadai di terminal berkenaan setakat ini.
Tambah beliau, daripada jumlah itu juga, sebanyak 116 kontena telah dibuka kertas siasatan kerana tiada AP; 155 kontena telah diikrar dan belum diserahkan kepada penguat kuasa manakala 126 kontena lagi belum diikrar dengan kastam.
“Sehubungan itu, kita masih menunggu syarikat terbabit untuk mengemukakan AP bagi menuntut kontena-kontena ini dan dikenakan kompaun, tetapi sehingga kini kita belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saidi mendedahkan, ketika ini pihaknya masih menerima kemasukan sekurang-kurangnya lima buah kontena berisi plastik menerusi terminal itu setiap hari.
Bagaimanapun, jelasnya, kontena itu mengandungi plastik bersih dan mempunyai permit AP untuk dibawa masuk bagi kegunaan pelbagai industri.
Tambahnya, antara negara asal plastik berkenaan ialah Hong Kong iaitu sebanyak 94 kontena; Amerika Syarikat (68); Jerman (28); Kanada (20); Jepun (14); Finland (12); Greece (12); Australia (11); Sepanyol (5); Chile (3) serta masing-masing dua dari New Zealand dan Perancis. – UTUSAN ONLINE











