10 lokasi terjejas akibat banjir kilat di Melaka - Utusan Malaysia

10 lokasi terjejas akibat banjir kilat di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Sebanyak 10 kawasan perumahan termasuk kampung dan taman sekitar Melaka Tengah terjejas akibat kejadian banjir kilat selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak awal pagi tadi.

Antara kawasan terlibat adalah Kampung Enam, Taman Melaka Baru Fasa 2, Taman Limbongan, Taman Merdeka, Taman Malim, Taman Bachang, Taman Lorong Pandan, Taman Jati, Taman Rumpun Bahagia dan Pulau Kelapa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, bagi pemindahan mangsa pula, sebanyak 68 penduduk Kampung Enam terpaksa ditempatkan ke pusat pemindahan sementara di Balai Raya Taman Anika, Kampung Lapan sejak pukul 5 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun katanya, pusat pemindahan itu hanya dibuka sehingga pukul 10.30 pagi tadi selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing ekoran air banjir yang semakin surut.

“Kesemua 10 kawasan perumahan sekitar daerah ini dilanda banjir kilat berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 10.30 malam tadi sehingga 2 pagi.

“Sebanyak 68 mangsa daripada 19 keluarga di Kampung Enam juga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana rumah mereka dinaiki air sedalam 0.9 meter. Namun kesemuanya sudah dibenarkan pulang selepas air surut,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Jelasnya, kejadian banjir kilat di beberapa kawasan terlibat dikesan berpunca daripada limpahan air Sungai Melaka ke kawasan-kawasan rendah.

Tambahnya, dalam kejadian tersebut anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menerima panggilan kecemasan membabitkan haiwan berbisa yang masuk ke dalam kediaman penduduk termasuk ular.

“Anggota kita telah menangkap seekor ular sawa seberat dua kilogram dan sepanjang empat meter di Taman Merdeka kira-kira pukul 12 tengah malam tadi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini