Yayasan Coral 
bantu pemuliharaan - Utusan Malaysia

Yayasan Coral 
bantu pemuliharaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebelum ini kita telah membincangkan bagaimana sumber asli kita perlu terus dipulihara dan antaranya adalah melindungi habitat haiwan marin menerusi penubuhan Taman Laut.

Taman Laut merupakan antara tempat karang dipulihara dan dilindungi sebagai habitat atau tempat haiwan marin mencari makan dan membiak.

Selain itu, ada laporan menyatakan terumbu karang menjadi `habitat’ kepada kira-kira 100 juta penduduk dunia yang bergantung pendapatan kepadanya dengan nilai ekonomi dunia RM150.6 bilion setahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas faktor tersebut, usaha pemuliharaan karang perlu mendapat sokongan dan perhatian semua pihak sama ada kerajaan, institusi penyelidikan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Dalam hal ini, usaha Yayasan Coral Malaysia (Coral Malaysia) wajar dijadikan contoh memandangkan ia bukan sahaja melihat karang sebagai sumber yang perlu dipulihara tetapi melibatkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pembabitan komunti tertentu.

Pengerusi Coral Malaysia, Jamhariah Jaafar berkata, asalnya ia ditubuhkan dengan nama Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia @ Coral Malaysia (2003- 2010)

“(Yayasan) Coral Malaysia bermula 2003 diasaskan beberapa rakan media dan pencinta laut dengan program konservasi sentiasa membabitkan pembuat dasar sama ada menteri, menteri besar atau exco pelancongan dan menggunakan kekuatan dan kelebihan mereka mencipta program yang menjurus ke arah kesedaran marin,’’ ujarnya.

Mereka terdorong berbuat demikian ekoran krisis karang yang berlaku terutama masalah pemutihan, isu sampah sarap, kematian penyu dan jerung.

Justeru, pihakya melancarkan beberapa kempen seperti Save Our Coral, Say No to Plastic dan Say No to Shark Fin untuk mencetus kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama penduduk pulau yang menjadi penjaga alam marin. Kempen tersebut diadakan dengan kerjasama beberapa kementerian terutama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (sebelum ini), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di samping kerajaan negeri dan agensi kerajaan seperti Taman Laut dan Jabatan Perikanan.

“Tetapi kami dapati program selalu bersikap ad hoc iaitu (ketika) ada program, semua turut membantu tapi habis program, keadaan kembali seperti biasa,” ujarnya.

Selepas lima tahun mengadakan program dengan masyarakat, Coral Malaysia memberi lebih fokus kepada Pulau Bidong, Terengganu kerana mendapati pulau yang masih bersih daripada pembangunan dan pelancongan melampau boleh dipulihara demi masa depan generasi akan datang.

Ia menjadi pendorong kepada usaha menaikkan status kepada Yayasan Coral Malaysia dan dengan kerjasama lebih berstruktur dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mereka memfokuskan pemuliharaan marin kepada satu pulau saja dengan impaknya lebih besar.

Justeru mulai 2006 dengan bantuan Kerajaan Negeri Terengganu, UMT dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, pihaknya menghasilkan produk digelar Galeri Dasar Laut Pertama Malaysia dengan mewujudkan kawasan tukun tiruan bereka bentuk (designed artificial reef) yang menjadi kawasan tarikan hidupan marin, kawasan pertumbuhan terumbu karang dan ‘taman permainan’ untuk penyelam.

Berkongsi lebih lanjut Jamhariah berkata, projek penternakan karang dimulakan di Teluk UMT pada 2014 selepas pihaknya mendapat kelulusan Jabatan Perikanan. Ketika itu, Coral Malaysia menggunakan pelbagai kaedah dan cara, namun selepas membuat satu lawatan ke Bali, Indonesia , satu rumusan baharu diperoleh dan usaha penstrukturan semula projek propagasi dimulakan.

Antara aspek diberi penekanan dalam penstrukturan semula itu adalah cara penternakan, pengurusan industri, kepakaran atau latihan dan pengeluaran atau eksport.

Menurut Jamhariah lagi, kerja-kerja penstruktran tersebut dilaksanakan selama setahun pada 2015.

Akhirnya kata beliau, usaha terbaharu tersebut menampakkan sinar dan ladang karang yayasan tersebut di Pulau Bidong telah berkembang baik.

Selepas program dalam tempoh antara 2015 hingga 2017 dilakukan secara serius, yayasan berjaya mengenal pasti karang, cara menternak dan telah berjaya mengeksport ke Kanada.

Selain itu, ujian penternakan darat juga telah dijalankan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson (PIHPD) Jabatan Perikanan di Port Dickson, selama dua tahun.

Dalam pada itu, yayasan tersebut memperkenalkan program Inisiatiaf Pendidikan Marin pada 2017 bagi menangkis persepsi negatif terhadap konsep penternakan dan ladang karang.

Pada tahun lalu pula, Coral Malaysia mempelawa 10 nelayan Tok Jembal menyertai program inkubator tetapi hanya tiga nelayan separuh masa berminat menyertai program tersebut.

Sehingga Oktober lalu, mereka telah menternak di 10 meja (500 keping) karang spesies Acropora spp.

Pihaknya juga membuat langkah penyusunan semula kerja-kerja di Pulau Bidong pada Mei tahun lalu dengan memfokus kepada speses Acropora spp. dengan tumpuan pada warnanya,

Sehingga September lalu, Ladang Karang mempunyai 50 meja yang diternak semula dan 30 meja (induk) serta 50 meja akan diperbaiki.

“Sasaran tahun ini adalah mencapai 200 meja propagasi secara aktif,” ujarnya lagi.

Pada tahun ini yayasan tersebut menyasarkan kepada menerima permintaan untuk eksport dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Bahrain.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, yayasan akan menambah inkubator daripada tiga sekarang (nelayan) kepada 10 nelayan dan proses pemilihan telah dimulakan.Yayasan tersebut juga akan menjadikan fasiliti Ladang Karang sebagai pusat latihan atau model untuk Program MyCoral 3.0 iaitu Marine Education Initiative.

Hari ini, selepas beberapa tahun Pulau Bidong diharap akan menjadi model bagi program konservasi terumbu karang yang pertama di Malaysia.

Program MyCoral boleh disebar kepada kawasan – kawasan pulau yang memerlukan pemuliharaan dan komersial.

Dengan kerjasama semua pihak terlibat, Pulau Bidong juga boleh menjadi pusat latihan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus mengenai terumbu karang.

Pada akhirnya Jamhariah berkata, pihaknya bercadang menjadikan Terengganu Hab Industri Akuamarin Kebangsaan.

Ini kerana Terengganu dirahmati dengan kedudukan bersempadan laut dan memiliki antara pulau-pulau peranginan terbaik dunia.

Namun katanya, aset yang dimiliki seharusnya dimanfaatkan untuk meningkatkan pendapatan penduduk tempatan dengan sumber yang belum diteroka.

Katanya dengan dunia meletakkan terumbu karang di bawah perlindungan dan pelbagai usaha membabitkannya dikawal selia begitu ketat, usaha penternakan karang untuk tujuan komersial dan konservasi perlu diberi tumpuan.

Katanya lagi, tujuan program konservasi adalah bagi menjana pendapatan penduduk tempatan daripada industri perikanan dan pelancongan.

Ini kerana majoriti pulau indah Terengganu diletak di bawah Taman Laut.

“Program pengenalan penternakan karang kepada pulau peranginan boleh mencipta taman karang atau terumbu karang yang berpotensi meningkatkan jumlah karang di dalam air, pengetahuan mengenai karang dipertingkatkan, program konservasi marin boleh diwujudkan dan boleh menjadi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk pulau,” ujarnya.

Langkah tersebut diharap dapat menambah produk pelancongan Terengganu dan sekali gus dapat merealisasikan hasrat penubuhan sebuah Oceanarium bagi membuka minat ganerasi muda terhadap industri marin.

Malah beliau turut berbangga Telekom Malaysia (TM) turut menjadi pendukung utama kepada program pemuliharaan anjuran Coral Malaysia menerusi Program MyCoral Inisiatif Pendidikan Marin sejak 2017.

TM menerusi 20 penyelam dari TM Rovers diketuai Pegawai CSR, Izad Ismail menyebarkan usaha propagasi karang untuk tujuan konservasi bermula tahun lalu.

Ia memper­kenalkan program MyCoral Inkubator untuk menggalakkan lebih ramai penyelam belajar mengenai propagasi karang.

Tahun ini TM akan turut membantu melancarkan program Coral Adoption dan Sukarelawan Coral.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini