LONDON 15 Mei – Chris Wilder telah dinamakan sebagai pengurus terbaik tahun ini dalam majlis anugerah Persatuan Pengurus Liga (LMA) selepas membantu Sheffield United melangkah ke saingan Liga Perdana Inggeris.
Kali terakhir Sheffield United beraksi dalam kancah liga utama itu ialah pada musim 2006/07.
Wilder, 51 tahun menjadi jurulatih kelima bukan daripada kancah liga utama yang memenangi anugerah berprestij berkenaan dan yang pertama selepas Eddie Howe memenanginya pada 2015 ketika membimbing Bournemouth ke Liga Perdana Inggeris.
Lebih menakjubkan Wilder berjaya meraih undian menewaskan Pep Guardiola, Jurgen Klopp serta Mauricio Pochettino malah pengurus Sheffield United itu turut dinamakan sebagai Pengurus Kejohanan Terbaik musim ini.
“Diundi untuk memenangi anugerah ini adalah sesuatu yang amat menakjubkan terutama selepas mengharungi musim penuh cabaran bersama Sheffield United.
“Berjaya melangkah ke saingan Liga Perdana Inggeris telah menjadi satu inspirasi buat semua orang sekali gus membuktikan bahawa semua kelab mempunyai peluang melangkah ke saingan liga utama itu.
“Bagi saya pengalaman bersama kelab ini sesuatu yang menakjubkan dan anugerah ini bakal menjadi pembakar semangat buat saya.
“Selepas ini jika kami berjaya kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris pasti ia kejayaan yang amat hebat buat kami semua,” kata Wilder. – AGENSI











