PETALING JAYA 29 Mei – Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka akan dibuka sebelum sambutan Aidilfitri ini melibatkan laluan sepanjang 19 kilometer (km) dari Teluk Intan ke Hutan Melintang, Perak.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah berkata, satu lawatan akan diadakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya dan pengumuman rasmi akan dilakukan selepas itu.
“Insya-Allah, satu lawatan dan pengumuman rasmi akan disampaikan oleh Timbalan Menteri pada Jumaat ini, apa-apa pun kami jangka laluan tersebut akan dibuka sebelum hari raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Jalinan Mesra dan Iftar Ramadan Litrak dan Sprint di Kompleks Operasi Litrak, di sini semalam.
Lebuhraya pesisiran Pantai Barat melibatkan laluan sepanjang 223km dari Jalan Banting-KLIA (B18) ke persimpangan Tanjong Karang (93.8km) di Selangor dan dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Tol Plaza Changkat Jering (139.2km) di Perak.
Tiga pakej di Perak meliputi Hutan Melintang ke Teluk Intan (19.1km), Lekir ke Changkat Chermin (28km) dan Changkat Chermin ke Beruas (16.6km). – UTUSAN ONLINE











