SANDAKAN 3 Mei – Parti Warisan Sabah (Warisan) mendapat sokongan penuh daripada parti-parti gabungan dalam mentadbir kerajaan negeri Sabah, kata Presiden parti, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, ini sejajar dengan komitmen Warisan yang mengutamakan kerjasama dengan parti lain dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri Sabah berjalan dengan baik untuk manfaat rakyat.
“Mana mungkin Warisan menubuhkan kerajaan negeri tanpa sokongan parti lain seperti DAP. Begitu juga kerjasama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan di Semenanjung,” katanya ketika berucap di majlis kemasukan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat Datuk Raymond Tan Shu Kiah ke dalam Warisan di sini, hari ini.
Kerajaan Negeri Sabah diterajui Warisan bersama parti PKR, DAP dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), dan menurut Shafie kerjasama antara parti-parti inilah yang menjadi faktor penting kepada kestabilan politik negeri.
Katanya, kestabilan menjadi faktor penting kepada usaha menarik pelabur ke Sabah.
“Perlu ada kestabilan politik, jika ada sumber tapi dalam negeri dan negara tiada kestabilan politik maka sukar melaksanakan pembangunan,” katanya. – BERNAMA











