Warga emas maut kereta langgar tembok rumah - Utusan Malaysia

Warga emas maut kereta langgar tembok rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang lelaki warga emas sempat menghantar cucunya ke pusat tuisyen sebelum maut dalam kemalangan di Taman Peringgit Jaya di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa, Khor Oai Kheng, 78, maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya melanggar tembok batu sebuah rumah di taman berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila mangsa gagal mengawal kereta tersebut ketika ingin mengundur. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejadian berlaku ketika mangsa mengundurkan keretanya selepas menghantar dua orang cucunya masing-masing berusia 13 dan 14 tahun di sebuah pusat tuisyen di taman tersebut. 

“Mangsa bagaimanapun gagal mengawal pedal minyak lalu merempuh tembok batu sebuah rumah. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Tambahnya, hasil siasatan awal, mangsa dipercayai menghidapi masalah kesihatan ketika memandu kereta tersebut. 

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, penghuni rumah tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Gadafi, 34, berkata, ketika kejadian dia berada diruang tamu dan terkejut apabila ternampak kereta dipandu mangsa mengundur dalam keadaan laju ke arah kediamannya. 

“Kejadian berlaku dengan sangat pantas. Ketika itu saya sedang berehat diruang tamu dan ternampak Perodua Myvi itu mengundur laju sebelum melanggar tembok batu dan pagar batu rumah,” katanya.

Menurutnya, dia yang bergegas keluar mendapati pemandu sudah tidak sedarkan diri sebelum seorang daripada jiran menelefon ambulans. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini