KEMAMAN 15 Mei – Seorang warga emas maut apabila dirempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace ketika mangsa melintas jalan di kilometer 6 Jalan Chukai – Air Putih, menghala ke Chukai dekat sini pagi tadi.
Zaharah Yahaya, 72, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak dan mengalami kecederaan parah dalam kejadian pukul 10 pagi itu.
Difahamkan, sewaktu kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang selepas mengambil ubat tahan sakit lutut dari sebuah klinik di Taman Semarak Binjai dekat sini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, nahas berlaku ketika kenderaan milik Pos Malaysia dalam perjalanan dari Air Putih menghala ke arah Chukai selepas menghantar surat di Pejabat Pos Air Putih.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, pamandu van tersebut cuba mengelak sebuah kereta di hadapan yang secara tiba-tiba memberi isyarat belok ke kanan.
“Selepas gagal mengelak kereta itu, kenderaan Toyota Hiace itu kemudian terlanggar pula sebuah kereta Proton Waja dan Honda CRV di bahu jalan sebelum merempuh mangsa yang sedang melintas jalan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











