KUALA LUMPUR – Seorang warga emas, Ramli Ilong, 85, dikuatiri lupa jalan pulang ke rumah apabila dilaporkan hilang sejak hari pertama puasa pada 6 Mei lalu.
Menurut menantunya, Azam Ahmad berkata, ketika hari kejadian Isnin lalu, mereka sekeluarga berhajat untuk berbuka puasa bersama di Masjid Sri Damansara.
“Ketika itu pukul 6 petang, jadi saya cakap kepada bapa mertua masih awal kerana jarak masjid dengan rumah terlalu dekat hanya beberapa meter.
“Kebiasaannya, bapa mertua saya akan duduk di halaman rumah sementara menunggu saya bersiap. Masa itu dia sudah siap berbaju Melayu kuning, bila saya keluar dia sudah tiada,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, bapa mertuanya itu menghidap penyakit demensia iaitu satu penyakit mudah lupa dan cepat marah.
“Pada hari kejadian, pengawal keselamatan di taman perumahan saya ada ternampak bapa mertua saya, namun tidak tahu ke mana arah yang ditujui.
“Saya mohon jasa baik semua untuk viralkan bapa mertua saya yang kali terakhir memakai baju Melayu kuning, seluar panjang gelap dan berselipar kulit di rumah.
Tambah Azam, jika terdapat individu yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan bapa mertuanya boleh menghubungi Shida Ramli di talian 016-363 3839.











