PUTRAJAYA 21 Mei – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi kerana dipilih semula sebagai Presiden kelapan negara itu.
Timbalan Perdana Menteri optimis, sebagai teman negara serumpun, hubungan antara Malaysia dan Indonesia akan terus diperkukuh di samping memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Saya mendoakan Ir. Hj. Joko Widodo dikurniakan kesihatan yang baik dan terus kental dalam menghadapi liku-liku mendatang sebagai seorang pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr. Wan Azizah turut melahirkan syukur kehadrat Allah SWT kerana pilihan raya Presiden Indonesia telah melabuhkan tirai dengan jayanya.
“Seperti mana yang ditetapkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) pasangan capres dan cawapres nomor urut 01 Joko “Jokowi” Widodo dan Ma’ruf Amin telah diumumkan sebagai pemenang Pilpres 2019,” katanya. – UTUSAN ONLINE











