Wajah-wajah kemurungan - Utusan Malaysia

Wajah-wajah kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali penulis selesai memberikan ceramah tentang kemurungan (major depressive disorder) terutama dalam kalangan para professional maka setiap kali itulah penulis akan ditanya berhubung cara mengetahui bahawa seseorang itu benar-benar mengalami kemurungan.

Seorang pengetua sebuah sekolah pernah meluahkan perasaannya ketika penulis menyampaikan ceramah tentang kesihatan mental dalam kalangan guru.

Pengetua itu mengenali beberapa orang dikatakan menghidapi kemurungan dan telah diberikan cuti sakit yang lama dan adakalanya melebihi seminggu. Malah terdapat guru-guru yang diberikan cuti sakit melebihi sebulan akibat kemurungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini sudah pasti mengganggu perjalanan pembelajaran di sekolahnya. Katanya, apabila bertemu dengan guru-guru terbabit, mereka nampak sihat. Tekanan kerja itu adalah perkara biasa bagi guru-guru. Yang penting mereka perlu kuat dan sabar, ujar kata pengetua tersebut.

Selalunya yang bertanya soalan sebegini ialah mereka yang terpaksa mengambil alih tugas-tugas rakan sekerja yang diberikan cuti sakit dan sudah pastilah akan menambah bebanan dan tekanan kepada mereka.

Jawapan yang penulis berikan biasanya dalam bentuk pertanyaan iaitu pernahkah anda berasa kemurungan atau pernahkah anda merasai kepiluan, keperitan disebabkan perasaan murung?

Kemurungan merupakan satu episod kehidupan yang sangat sukar dilalui. Kesukaran itu pula tidak boleh diceritakan menggunakan perkataan melainkan mereka yang melaluinya sahaja yang benar-benar memahami. Pada masa sama keadaan mereka itu juga perlu difahami.

Tahukah anda apakah antara perasaan yang sering dialami oleh mereka yang menghidap kemurungan ini?

Disebabkan fungsi kognitif yang terganggu serta perasaan murung berpanjangan maka mereka akan berasa diri masing-masing menjadi satu bebanan kepada orang lain. Berasa bahawa mereka tidak layak untuk hidup kerana menyusahkan orang lain. Pesakit juga berasa malu dengan diri sendiri, sedih kerana tidak cukup kuat, berasa kecewa kerana dianggap terlalu lemah dan tidak berupaya untuk melawan.

Lantas disebabkan perasaan-perasaan tersebut maka pesakit akan memakai `topeng’ di hadapan manusia lain. Dengan itu anda akan melihat mereka tersenyum. Namun begitu pernahkah anda melihat mereka menangis?

Seorang pesakit pernah memberitahu bahawa setiap kali ke tempat kerja, dia akan menangis terlebih dahulu dalam kereta kerana bimbang akan menangis dalam pejabat.

Semasa waktu rehat, dia akan ke tandas untuk menangis secara diam-diam selain menangis semasa tidur. Mujurlah tangisannya itu didengari oleh seorang sahabat baik yang kemudian menasihatkannya untuk mendapatkan rawatan di unit psikiatri berhampiran.

Seorang pesakit yang mengalami kemurungan dan kecelaruan keresahan (anxiety) pernah bercerita yang dia sering menjerit dalam tandas dengan cara menekup mulutnya dengan tangan. Dia kemudian akan diserang rasa loya dan muntah-muntah setiap kali diserang simptom panik. Tiba-tiba juga dia berasa takut kerana tidak mahu orang lain tahu tentang keadaannya itu.

Semuanya dihadapi sendirian kerana tidak mahu digelar lemah. Pernahkah anda mengalami perasaan sedemikian? Mereka ini memerlukan rawatan berterusan sama ada secara perubatan ataupun psikoterapi.

Bahkan rawatan-rawatan ini memerlukan masa untuk mereka kembali pulih. Justeru, berikanlah pesakit masa. Penulis juga seringkali ditanya apakah bentuk bantuan yang boleh diberikan setelah mengetahui terdapat rakan-rakan mengalami kemurungan?

Ketahuilah, perkara utama yang perlu dilakukan ialah memberikan semangat dan kepercayaan kepada pesakit bahawa mereka boleh pulih seperti biasa. Juga, memberi keyakinan bahawa anda akan sentiasa berada di sisi untuk membantu. Itulah yang sangat diperlukan oleh mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini