‘Wajah’, ‘fiil’ setahun PH - Utusan Malaysia

‘Wajah’, ‘fiil’ setahun PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA dapat lihat dengan cukup jelas, usaha pihak media memberi gambaran bahawa ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dihiasi dengan perkara-perkara senonoh dan baik.

Kalangan para menteri dan kakitangan kementerian berusaha bersungguh untuk memastikan perkara-perkara baik ini dapat disampaikan kepada rakyat.

Beberapa menteri, tanpa rasa janggal dan aib, memberi ‘markah cemerlang’ kepada diri sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Salah seorang menteri, dengan rasa penuh megah, mempertahan pandangan bahawa suasana perpaduan dalam negara menjadi amat rukun sejahtera di bawah kepimpinannya di kementerian berkaitan.

Sebagai rakyat, kita harus menentukan nisbah dan darjah kepuasan hati kita kepada kerajaan yang ada. Maaf cakap, secara luarannya, kita hanya mendapat ‘wajah’ dan ‘fiil’ pentadbiran baharu.

EKONOMI RAKYAT

Perdana Menteri sendiri, dalam siri pertemuan bersama kakitangan awam terpilih, berulang kali menyatakan bahawa yang penting, Perdana Menteri itu disandang orang ‘lama’. Wajah-wajah lain, tegas Perdana Menteri, tidak perlu sangat diambil pusing.

Mentadbir negara, pada hakikatnya, perlukan sesuatu yang lebih utama daripada wajah seorang ‘Perdana Menteri’. Dahulu, mungkin seorang Perdana Menteri mempunyai ‘kuasa’ luar biasa.

Suasana politik mutakhir ini, mampu meletakkan Perdana Menteri dalam keadaan paling canggung dan kekok.Kerajaan perlu mengakui pendekatan ekonomi diperkenal sepanjang setahun lalu bukanlah paling ampuh dan kuat.

Banyak keputusan awal dibuat, akhirnya terpaksa dikaji semula bagi memastikan ekonomi tidak suram dan bersifat remang-remang. Fokus kedua Belanjawan 2019 – yang secara spesifik menyebut tentang komitmen ‘Memastikan Kesejahteraan Rakyat’ masih belum dirasai sebaiknya.

Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak mencapai impak sama seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dahulu. Dengan mengguna ‘kriteria’ baru, hanya 4.1 juta rakyat menikmati BSH; berbanding lebih tujuh juta sebelumnya.

Hampir tiga juta rakyat dipinggirkan daripada skim bantuan baharu BSH ini. Rakyat daripada kumpulan B40, mahupun M40 yang sebenarnya layak diberikan pertimbangan, diketepikan dengan cukup mudah.

Kita semua perlu bersiap sedia dengan ‘kesan negatif’ berikutnya apabila kerajaan melaksanakan usaha subsidi minyak secara bersasar.

Penulis cukup yakin, pelaksanaan sepenuhnya subsidi bersasar pada suku kedua 2019 ini – akan menyaksikan kesan langsung kepada rakyat. Kos sara hidup akan terus meningkat.

JALAN HADAPAN KERAJAAN PAKATAN

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bil 2/2019 baru sahaja berlaku minggu ini. Rakyat tidakpun dimaklumkan mengenai butiran perbincangan. Yang ada ditampilkan di media sosial hanyalah aksi ‘foto’ menteri tertentu di mesyuarat itu. Isi, faedah dan kebaikan kepada rakyat?

Isu kos sara hidup mahu ditenggelamkan dengan kerja-kerja kemasyarakatan ‘bank makanan’. Bukanlah penulis mengatakan ia tidak penting, namun lebih wajar dan munasabah pihak kementerian berkenaan melihat isu kos sara hidup secara komprehensif – bukannya secara berpilih?

Penulis dimaklumkan baru-baru ini telah diadakan pertemuan khas dalam kalangan anggota Kabinet berbangsa Melayu/beragama Islam. Pertemuan hati ke hati.

Masing-masing perlu mengemukakan pandangan mengenai situasi terkini yang ada di hadapan mata mereka.

Berdasarkan informasi dalaman, antara isu utama yang dibangkitkan: –

• Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Istana.

• Impak dan kesan kerjasama UMNO-Pas.

• Kesan negatif pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Mesyuarat berkenaan dikhabarkan mengakui bahawa kedudukan Menteri Kewangan memerlukan kajian semula secara jujur.

Persoalannya, apakah ada usaha di peringkat kerajaan mahu memperbetulkan ‘imej’ dan ‘penjenamaan’ kerajaan hari ini? Apakah ada ‘keberanian politik’ untuk melakukan perubahan?

Dalam satu kajian dibuat pihak tertentu, Kerajaan PH dikatakan sedang menikmati sokongan 62.55% rakyat.

Kajian sama, meletakkan prestasi menteri daripada parti DAP sebagai pentadbir paling cemerlang. Julat peratusan ini cukup tinggi. Kita harap kerajaan percaya dan senang hati angka sokongan ini.

MALAYSIA BAHARU

Tempoh setahun cukup pantas berlalu. Harapan rakyat sememangnya cukup tinggi, namun ia kekal menjadi rasian dan ilusi.

Suasana politik masih kekal begitu, malah terus diselubungi sikap angkuh dan tinggi hati. Yang tidak sealiran dengan mereka, pantas digelar ‘kangkung’ dan sebagainya.

Keputusan rakyat dalam pilihan raya umum lalu tidak boleh dibuat asal (undo). Mahu tidak mahu, kita semua ada tanggungjawab untuk meneruskan kehidupan.

Selamat ulang tahun pertama buat kerajaan. Semoga apa yang berlaku hari ini, mampu menjadi ibarat teladan kepada kita semua dalam membuat keputusan.

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini