KUALA LUMPUR 26 Mei – Berstatus seorang suri rumah dan memiliki tiga cahaya mata, tidak menghalang Aleeya Zailan, 34, menjadi pengasas kepada tiga jenama perniagaan.
Mempunyai visi untuk menyediakan satu jenama perniagaan kepada setiap cahaya matanya, beliau memberi penjenamaan produk dengan setiap nama anak beliau.
“Senang nanti anak-anak bila sudah besar akan memiliki perniagaan sendiri, tidak perlu berebut-rebut. Anak kedua saya yang diberi nama Aaron Aziz, tujuh tahun pun sudah mula tanya bila pula nak keluar produk guna inspirasi namanya. Tapi dia patut rasa istimewa kalau tak ada produk namanya sekalipun, namanya sama seperti pelakon Aaron Aziz,” seloroh Aleeya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Ditanya mengenai perancangan meletakkan produk di farmasi atau segmen runcit lain, Aleeya berkata, pada masa kini, beliau mahu teruskan dengan niat asalnya untuk membantu golongan suri rumah.
Katanya, syarikat mahu memperbanyakkan ejen lebih-lebih lagi dalam kalangan individu berstatus suri rumah supaya mereka dapat mencari pendapatan tambahan.
“Selain dapat duit poket, produk kami juga yang terdiri daripada penjagaan kulit sehinggakan yang terkini, Vitalicia Supermodel Glow memang sesuai untuk diamalkan oleh wanita.
“Saya tidak menolak peluang untuk memperluaskan perniagaan. Mungkin dalam jangka panjang kami akan memasuki farmasi, cuma buat masa terdekat, penjualan menerusi ejen terlebih dahulu,” jelasnya.
Aleeya Kitchen @aleeyaskitchen
Aleeya mula berjinak-jinak memasuki bidang keusahawanan dengan menjual sambal pada 2014. Memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, beliau turut menjual produk pada platform dalam talian, Shopee.
Masih menjalankan perniagaan ini, antara produk popular adalah Sambal Belimbing Pahang dan Pucuk Ubi Goreng Nogori.
Avenys @avenys
Melihat potensi segmen penjagaan kulit, beliau seterusnya memperluaskan lagi perniagaan kepada bidang itu yang masih kekurangan pemain industri tempatan.
Pada 2016, Aleeya memperkenalkan produk Trubright Exfoliating Gommage yang merupakan skrub badan dan yang begitu mendapat perhatian ramai, Express Makeup Remover.
Avenys mengambil nama daripada puteri sulungnya bernama, Eva Natasha berusia sembilan tahun.
Vitalicia @vitalicia.co
Terbaharu, pada April 2019, beliau melancarkan produk Vitalicia Supermodel Glow, suplemen makanan tambahan yang mengandungi sebanyak 71mg khasiat Vitamin C.
“Jenama Vitalicia diilhamkan gabungan perkataan Vitamin C dengan nama anak ketiga, Alicia Aleena kini berusia 10 bulan,” ujar Aleeya yang merupakan Pengasas & Pengarah Urusan Vitalicia Sdn. Bhd.











