SAYA ada gastrik, tak boleh puasa.
Hmmm…betul ke gastrik? Atau pedih ulu hati? Ya, ramai yang tidak dapat membezakan kedua-duanya.
Menurut pakar diet dari Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim, memang ramai keliru kerana kesakitan dirasai melibatkan tempat yang sama.
“Kalau gastrik lebih kepada keradangan dalam perut akibat asid di dalam perut. Apabila kita makan, asid akan dihasilkan untuk mencerna makanan.
“Pedih ulu hati pula melibatkan saluran penghadaman atau esofagus,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor, Selasa lalu.
Akibatnya muncullah ramai ‘doktor ekspres’ setiap kali tiba Ramadan. Apabila sakit perut, maka ramai yang akan mengakui menghidap gastrik. Berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikannya, ramai pesakit yang mendiagnosis diri sendiri bahawa mereka menghidap gastrik, bukannya disahkan secara formal oleh doktor!
“Kadang-kadang doktor periksa pesakit, buat endoskopi, buat ujian darah. Hasil ujian-ujian itu menunjukkan tiada masalah gastrik. Dia sendiri rasa (gastrik) untuk cari alasan tak boleh berpuasa,” jelasnya.
Lebih ‘menarik’ lagi tambahnya, golongan lelaki adalah yang paling ramai dalam kategori acah-acah gastrik ini. Berikutan itu, tidak hairanlah muncul ‘geng plastik hitam’.
Saya sendiri terserempak dengan mereka ketika membuat tinjauan di sebuah warung mamak berhampiran pejabat pada kira-kira pukul 1 petang, tiga empat hari lalu. Dalam tempoh hanya 10 minit melepak di situ, tidak kurang lima pelanggan lelaki Melayu datang untuk tapau nasi dan minuman.
Tapi tidak tahulah pula yang dibeli itu untuk diri sendiri atau orang lain.
Walau bagaimanapun kata Farah Farhanah, ada gastrik bukan ‘lesen’ untuk tidak berpuasa. Tidak kiralah tahap akut iaitu gastrik yang datang secara tiba-tiba, mahupun tahap kronik yang menghidap sejak bertahun-tahun lamanya.
Nak pula di Malaysia yang mana tempoh masa berpuasa sekadar 12 hingga 14 jam sahaja. Ditambah suhu tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk, apa sangat cabarannya.
Berbeza di luar negara, tempoh berpuasa kadang-kala melebihi 20 jam. Maka dalam keadaan sedemikian, doktor mungkin boleh menasihatkan pesakitnya supaya tidak berpuasa.
Bagi golongan gastrik kronik yang sudah lama mengambil ubat, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya mahu berpuasa. Doktor akan menyesuaikan waktu pengambilan dan dos ubat.
“Kalau dia ambil satu jenis ubat, mungkin dimakan pada waktu sahur. Kalau dua jenis ubat, mungkin waktu berbuka dan sahur untuk mengurangkan penghasilan asid dalam perut bagi mengelak kesakitan,” ujarnya.
Apa tip untuk orang ada gastrik tapi nak berpuasa? Jelasnya, dari sudut pengambilan makanan, melewat-lewat waktu sahur paling bagus. Dan paling serius perlu dielak, selepas sahur jangan terus tidur!
Ini kerana katanya, akan mengganggu proses pencernaan dan asid perut menolak semula saluran penghadaman yang dipanggil refluks atau pedih ulu hati.
“Nanti perut mulalah meragam. Pukul 10, 11 pagi sudah mula sakit perut. Elak baring (selepas sahur), duduk saja,” katanya.
Waktu berbuka pula eloklah dipercepatkan, seelok-eloknya dengan buah kurma kerana tinggi fruktosa atau kandungan gula sekali gus mempercepatkan pencernaan.
Kepada golongan perokok pula, Farah Farhanah memberi amaran, mereka yang gemar berbuka dengan rokok berisiko menghidap kanser perut. Bahan kimia, asap dan nikotin yang masuk ke dalam perut yang penuh asid boleh menjejaskan saluran penghadaman.
Jika tidak dirawat, dalam tempoh dua, tiga tahun boleh dapat kanser perut. Apa yang elok ujarnya, makan sedikit-sedikit tetapi kerap.
Paling baik adalah makanan yang melepaskan tenaga secara perlahan seperti nasi perang, roti mil penuh, buah-buahan; makanan probiotik atau mengandungi bakteria baik termasuk susu berkultur dan paling sesuai untuk orang kita ialah tempe.
Yang perlu dielakkan adalah pedas dan makanan berproses. Mereka juga tidak digalakkan ambil moreh yang berat. Cukup sekadar biskut cracker, roti.
Kesimpulannya, jangan jadikan gastrik sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Sebenarnya puasa itu sendiri yang memberi kebaikan kepada mereka yang menghidap gastrik. Budak sekolah pun boleh tahan, takkan yang dewasa tak mampu?











