KUALA LUMPUR 3 Mei – “Saya sangat gembira dan terima kasih banyak-banyak. Saya sayang semua.”
Itu antara luahan hati wanita Vietnam, Doan Thi Huong yang dihukum penjara kerana mencederakan lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam, dua tahun lalu dalam surat ringkas yang ditulisnya semalam dan ditunjukkan kepada media hari ini.
Thi Huong, 30, dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara tiga tahun empat bulan di Penjara Wanita Kajang bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Februari 2017.
Dalam warkah bertulis tangan dalam Bahasa Inggeris itu, wanita terbabit turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim, Peguam Negara, Penjara Wanita Kajang yang menjaganya dengan baik.
“Terima kasih juga kepada kerajaan dan Kedutaan Vietnam, barisan peguam bela dan semua media yang datang memberi sokongan terhadap saya. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua atas segala doa. Terima kasih Tuhan kerana menyayangi saya dan saya sangat gembira serta terima kasih banyak-banyak. Saya sayang semua,” tulisnya.
Wanita itu pulang ke kampung halaman hari ini dengan menaiki penerbangan Vietnam Airlines pada pukul 7.15 malam ini selepas dibebaskan dari penjara pukul 7.20 pagi. Selepas dibebaskan daripada penjara, Thi Huong telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya.
Surat berkenaan ditunjukkan oleh barisan peguam-peguam belanya, Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Naran Singh dan Salim Bashir yang turut menemani wanita itu pulang ke negara asal kepada media yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak tengah hari.
Pada 1 April lalu, Thi Huong mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan alternatif menyebabkan kecederaan terhadap Jong-nam menggunakan bahan berbahaya iaitu agen saraf, VX di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang dekat sini kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dendan atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.
Pada 11 Mac lalu, mahkamah sama melepas tanpa membebaskan tertuduh pertama, Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Jong-nam, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.
Kedua-dua wanita itu sebelum ini didakwa atas tuduhan membunuh Jong-nam, 45, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











