KUALA LUMPUR 23 Mei – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menggerakkan usaha susulan bagi memastikan rawatan dan tahap kesihatan 12 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang yang cedera dalam kemalangan bas dan sebuah kenderaan di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan hari ini dipantau sebaik mungkin.
Mara menerusi kenyataan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota penyelamat dan kakitangan kesihatan yang terlibat dalam memberi rawatan segera kepada pelajar MRSM yang terbabit.
“Profesionalisme yang ditunjukkan oleh kakitangan kesihatan serta anggota penyelamat yang terlibat dalam membantu mangsa kemalangan amat dihargai oleh Mara serta ibu bapa para pelajar,” menurut kenyataan itu hari ini.
Berita berkaitan:
Tambah kenyataan itu, enam pelajar MRSM yang cedera telah dibawa ke Hospital Jelebu, manakala lima pelajar MRSM yang cedera ringan diberi rawatan di Klinik Kesihatan Jelebu.
“Seorang pelajar tingkatan empat yang cedera turut dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban,” jelas kenyataan itu.
Seorang pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang maut manakala lebih 27 penumpang cedera selepas sebuah bas terbabas di Jalan Kuala Klawang-Seremban di Bukit Tangga, Jelebu petang tadi. – UTUSAN ONLINE











