JEMPOL 8 Mei – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian memecahkan cermin tingkap sebuah kereta di Jalan Beringin, Batu Kikir di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian pukul 7.15 petang itu suspek memecahkan cermin di bahagian pemandu kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di parkir di rumah kedai berkenaan.
Katanya, bagaimanapun penggera kenderaan tersebut berbunyi dan kejadian itu disedari pemilik kereta yang juga seorang peniaga berusia 64 tahun.
“Lelaki itu telah keluar dari kedai dan menjerit sambil mengejar suspek menyebabkan dia melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira.
“Kereta suspek telah diubah suai dengan but hadapan warna hitam manakala bahagian belakang berwarna kuning. Nombor pendaftaran kenderaan itu ialah CDB 3184 dan dipercayai palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kereta mangsa rosak di bahagian cermin pemandu dan dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian pada pukul 7.46 petang.
Muhd Nur Hishamuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun keseksaan kerana perbuatan khianat. – UTUSAN ONLINE











