KUALA LUMPUR 2 Mei – Bisa Pertama sebuah lagu ‘saka’ kerana perjalanan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Bayeng Black umpama menaiki ‘roller coaster’.
Kelmarin, Bisa Pertama melalui satu frasa baharu apabila dizahirkan pula menerusi Special Project yang dinyanyikan secara berduet.
Kali ini, Bisa Pertama Special Project digalas tanggungjawabnya oleh dua penyanyi lelaki berlainan genre, Uchop Ahmad dan Irwan Ahmad.
Untuk rekod pembaca, Uchop Ahmad ialah penyanyi kelahiran program realtiti televisyen iaitu Vokal Bukan Sekadar Rupa manakala Irwan Ahmad pula lahir dari Mentor Otai dan anak didik Tam Spider.

Kelebihan Irwan ialah suaranya mirip allahyarham Saleem Iklim dan Uchop pula lebih berkiblatkan genre rock.
Pun begitu, kata Irwan, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi 100 peratus klon atau berselindung di sebalik bayang-bayang allahyarham Saleem sebaliknya, menimba ilmu nyanyian yang pernah dicurahkan oleh allahyarham kepadanya suatu ketika dahulu membuatkan beliau tidak dapat lari daripada suara mirip Saleem.
“Suka atau tidak, memang saya kena duduk di bawah bayang-bayang arwah abang Saleem kerana saya dilihat membawa kesinambungan selain daripada menyelesaikan kerja-kerja arwah yang tidak sempat diselesaikannya.
“Bagi saya, paling penting, apa yang saya lakukan mendapat restu daripada isteri arwah, Kak Juriah, sahabat yang mengelilingi dan peminat,” ujarnya.

Usai majlis pelancaran Special Project Bisa Pertama, Irwan berkata, beliau telahpun membuat persiapan mental sekiranya diasak dengan persepsi yang membandingkan paduan duet bersama Uchop dalam projek khas ini.
“Ini cara kami melontarkan lagu Bisa Pertama yang sama dengan jiwa kami. Jika ada suara-suara di luar sana yang membandingkan cara nyanyian kami, terpulang kepada mereka.
“Samalah jika ada yang mengata, saya duduk di belakang Uchop kerana karakter dia yang lebih tegas berbanding saya. Lagipun sudah sekian lama kami bersahabat dan tidak timbul soal cemburu mencemburui antara satu sama lain,” kata Irwan.
Uchop yang bersikap defensif berkata, beliau tidak nampak bagaimana langkah berduet lagu Bisa Pertama menerusi Special Project ini diterima secara negatif.
Tegas Uchop, kombinasi duet bersama Irwan rata-rata mendapat maklumbalas yang memberangsangkan daripada khalayak pendengar dan penggemar muzik.

“Berduet dan berkolaborasi antara kami berdua, menampakkan adanya satu aura yang lain daripada yang lain. Ditambah pula dengan lagu yang mempunyai melodi dan susunan muzik yang ditambahbaik, bermula dengan Abang Hadi Hassan dan disuntik pula oleh Oja, Bisa Pertama Special Project pelengkap kepada kehendak komposer dan penulis liriknya, Abang Bayeng Black.
“Jadi, tidak timbul sama sekali lagu Bisa Pertama nyanyian saya dan Irwan dipandang sebagai lagu kitar semula atau recycle,” ujar Uchop.
Uchop berkata, elemen rock dan balada yang lahir daripada vokal beliau dan Irwan menambah ‘umph’ kepada Bisa Pertama.
Seperkara lagi, tegas Uchop, beliau tidak mengambil pusing kata-kata yang tidak membina yang dilontarkan terhadap Special Project Bisa Pertama kerana beliau dan rakan duetnya itu akan terus membuat kerja terbaik dalam mempromosikan lagu itu.
Uchop dan Irwan bersatu hati berkata, mereka menyampaikan lagu Bisa Pertama dengan karakter, disulami dengan kejujuran yang lahir dari hati mereka.
Cetakan pertama cakera padat Special Project Bisa Pertama, 1,000 unit dijual kepada para peminat beserta dengan barangan merchandise yang lain. – UTUSAN ONLINE











