SERDANG 25 Mei – Penggemar harumanis dipelawa untuk datang beramai-ramai bagi mendapatkan buah ikon Perlis itu yang kini dijual pada harga istimewa sempena Karnival Gegar Gempak Raya 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, yang bermula semalam sehingga esok.
Menurut pengusaha dan pemborong harumanis Perlis, Mohd. Faruq Mohamad Idris, pihaknya akan menawarkan harga istimewa iaitu lima kilogram pada harga hanya RM100 berbanding empat kilogram pada harga tersebut sebelum ini.
Kata beliau, promosi yang julung-julung kali diadakan sempena musim pengeluaran harumanis pada masa ini itu, adalah bertujuan bagi membolehkan orang ramai, khususnya penduduk di Lembah Klang menikmati sendiri produk kebanggaan rakyat Perlis ini.
“Rebutlah peluang ini terutama bagi penggemar harumanis Perlis atau yang belum pernah merasai keenakannya, sempena musim pengeluaran (harumanis) yang kini hampir mencapai kemuncaknya.
“Mereka yang berminat untuk mendapatkan harumanis Perlis ini bolehlah mengunjungi gerai jualan bernombor A158,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Faruq memberitahu, pihaknya membawa sebanyak tiga tan buah harumanis daripada sejumlah ladang pekebun di Perlis bagi membantu memasarkan produk berkenaan ke luar negeri itu.
Katanya, langkah tersebut mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Siding, Persatuan Alumni UPM dan Koperasi UPM Berhad. – UTUSAN ONLINE











