KUALA LUMPUR 21 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan sistem kuota yang dilaksanakan kerajaan bukanlah satu sentimen perkauman dan menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkaitan keputusan mengekalkan kuota 90 peratus kemasukan bumiputera ke matrikulasi.
Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris berkata, isu sistem kuota tidak wajar dibangkitkan memandangkan semua kemasukan dan sokongan ekosistem dalam program matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta program asasi adalah berkualiti dan melibatkan semua kaum.
Tegasnya, program matrikulasi adalah alternatif kepada program prauniversiti yang lain dan bukan bertujuan untuk mendiskriminasikan kaum bukan bumiputera.
“Program matrikulasi bukanlah ‘pintu belakang’ tetapi sebagai platform untuk menyediakan pelajar bumiputera bersaing secara sihat dengan rakan mereka yang mengikuti STPM dan program asasi.
“Semua pelajar tanpa mengira latar belakang kaum serta sosioekonomi berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti. Oleh itu, semua pihak perlu menghormati kontrak sosial yang dipersetujui oleh pembina negara bangsa sejak merdeka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Aini berkata, pemilihan calon ke universiti daripada lulusan matrikulasi, STPM, program asasi dan diploma dibuat berdasarkan merit pencapaian dalam peperiksaan masing-masing mengikut standard kesetaraan yang ditetapkan Unit Pusat Universiti Kementerian Pendidikan.
Sebagai contoh, jelasnya, lebih 90 peratus pelajar program matrikulasi yang memohon ke program UPM adalah dalam kalangan pelajar yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 sekali gus menunjukkan pemilihan dilakukan dalam kalangan pelajar cemerlang. – UTUSAN ONLINE











