PULAU PINANG 14 Mei – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) berharap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat mengumumkan segera inisiatif dalam mengurangkan cabaran yang dihadapi kelompok ekonomi khususnya peniaga bumiputera ketika ini.
Yang Dipertua DPMMPP, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, ketika ini, pihaknya menerima banyak keluhan dan rungutan daripada kelompok peniaga serta orang ramai selaku pengguna berkenaan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Katanya, keadaan itu secara tidak langsung turut mempengaruhi dan menjejaskan persekitaran perniagaan usahawan bumiputera termasuk yang bernaung di bawah DPMMPP.
Menurut beliau, pihaknya mempunyai keyakinan tinggi yang mana selepas setahun PH mengambil alih kerajaan, situasi ekonomi dan perniagaan melibatkan golongan usahawan bumiputera akan semakin pulih dan menjadi lebih baik.
“Kita juga sehingga kini sudah beberapa kali bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berbincang mengenai kelangsungan perniagaan usahawan-usahawan bumiputera khususnya di Pulau Pinang.
“Selain membawa secara terus suara akar umbi, pertemuan itu juga bagi membolehkan kita melihat peluang dan kerjasama yang boleh disertai usahawan DPMMPP sama ada menerusi pemadanan projek kerajaan atau sokongan infrastruktur lain yang boleh dimanfaatkan ahli-ahli kami,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia pada majlis berbuka puasa DPMMPP yang meraikan ahli-ahli persatuan itu serta golongan asnaf di Masjid Kapitan Keling, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Rizal Faris Mohideen menambah, pihaknya juga yakin kesungguhan Kerajaan PH dalam membanteras rasuah akan turut menyumbang ke arah mewujudkan kestabilan ekonomi dan menjana peluang perniagaan lebih adil kepada kelompok usahawan bumiputera. – UTUSAN ONLINE











