TASEK GELUGOR 9 Mei – Seramai 10 beranak dari Kampung Petani Merbau Kudung di sini tidak menyangka awal Ramadan kali ini perlu dihadapi dengan ujian banjir apabila rumah mereka dinaiki air sehingga ke paras lutut semalam.
Malah, banjir yang melanda itu juga membawa satu pengalaman baharu buat keluarga Norhayati Hashim, 42, dan suami, Hazilan Hussin, 47, bersama lapan anak mereka apabila terpaksa berbuka puasa dalam keadaan air banjir sehingga ke paras lutut memenuhi rumah mereka.
Selain itu, Norhayati bersama suami serta anak-anak berusia 20 tahun hingga 18 bulan juga buat pertama kalinya terpaksa bersahur di Dewan Muhibbah Merbau Kudung selepas berpindah ke dewan berkenaan yang dijadikan pusat pemindahan banjir.
Norhayati berkata, air mula masuk menerusi ruang dapur rumah mereka kira-kira pukul 7 petang semalam dan dia tidak menyangka air banjir itu naik dengan pantas selepas waktu berbuka puasa.
“Kami berbuka puasa dalam keadaan air banjir naik sehingga ke paras lutut, pada mulanya kami sangka air akan cepat surut seperti kebiasaan.
“Tetapi air semakin naik dan disebabkan bimbang dengan keselamatan kami sekeluarga keluar meredah banjir pada pukul 2 pagi selepas pusat pemindahan dibuka,” katanya ketika ditemui di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung, di sini hari ini.
Menurut Norhayati, kawasan kampung berkenaan kerap dilanda banjir dan ini merupakan kali ketiga rumahnya dilanda bencana itu.
“Setiap kali hujan lebat memang kawasan kampung ini akan dinaiki air, cuma kali ini berlaku awal Ramadan.
“Saya berharap air banjir cepat surut kerana kasihan pada anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Nor Amarlina Md Taha, 24, berkata, dia bersama dua anak berpindah ke pusat pemindahan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi tadi selepas air banjir masih lagi tidak surut di kawasan rumahnya.
“Rumah saya dua tingkat, jadi bila air mula naik semalam saya dan keluarga naik ke tingkat dua.
“Namun pagi ini hujan masih lebat dan air masih belum surut, jadi saya membuat keputusan berpindah ke pusat pemindahan kerana bimbang air naik lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











