KUALA LUMPUR 16 Mei – U Mobile Sdn. Bhd., menerusi anak syarikatnya U Mobile Services Sdn. Bhd., bekerjasama dengan iFAST Capital Sdn. Bhd. untuk menawarkan amanah saham daripada cabang pengedaran dalam talian perniagaan kepada pengguna (B2C) iFAST, FSMOne.
U Mobile dan iFAST Capital dalam kenyataan bersama berkata, tawaran amanah saham FSMOne boleh didapati di e-dompet U Mobile yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu GoPayz atau di laman web bermula suku ketiga tahun ini.
“Bagi memudahkan urusan pelanggan, transaksi amanah saham FSMOne mungkin dilakukan secara digital sama ada menerusi aplikasi GoPayz atau di laman web,” kata kedua-dua syarikat itu di sini hari ini.
Pengarah U Mobile Services, Alex Tan berkata, memandangkan segalanya akan diurus niaga secara digital, pelanggan boleh menikmati caj jualan murah antara 0 hingga 1.75 peratus apabila melabur dalam amanah saham di platform pelaburan dalam talian FSMOne lebih rendah berbanding tiga hingga lima peratus caj yang perlu dibayar apabila berurus niaga di luar talian.
Pengarah Urusan iFAST Capital, Dennis Tan berkata, pelanggan juga mendapat manfaat daripada halangan rendah kemasukan yang mana jumlah pelaburan minimum bagi kebanyakan amanah saham di FSMOne hanya RM1,000.
Kerjasama itu menjadikan U Mobile syarikat telekomnikasi pertama di Malaysia menawarkan amanah saham. – BERNAMA











