Tiram sumber pendapatan masyarakat tepi sungai - Utusan Malaysia

Tiram sumber pendapatan masyarakat tepi sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Mei – Tiram sering dikaitkan dengan mutiara yang mahal harganya namun tidak ramai yang tahu isi tiram juga enak apabila di masak dan rasanya setanding dengan makanan bercangkerang yang lain seperti siput, lala dan kepah

Di beberapa muara sungai di Kelantan terutama muara sungai Pulau Panjang, Sungai Lebuh Jambu, Sungai Che Derih dan muara Pak Amat, tiram yang hidup meliar menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.

Tinjauan Bernama ke beberapa muara sungai termasuk di Pengkalan Chepa, mendapati sekumpulan penduduk kampung sedang leka memungut tiram di dasar sungai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dilengkapi dengan besen plastik yang diikat pada pinggang, parang dan alat pencungkil pencari tiram terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak-anak dan mereka turun secara berkumpulan di sepanjang sungai untuk mencungkil tiram yang melekat pada batu.

Roslina Zakaria, 42, ketika ditemui di Sungai Che Derih berkata mencari tiram sudah menjadi pekerjaan keluarganya sejak lebih 30 tahun lalu, malah beliau dan 12 lagi adik beradik dibesarkan dan disekolahkan dengan duit hasil jualan isi tiram.

KOTA BHARU ,13, Mei -- Isi tiram yang dicungkil dari tiram yang
 Isi yang dicungkil dari tiram yang berjaya diambil di Sungai Che Derih, Kota Bharu, Kelantan. – BERNAMA

“Saya sendiri, lebih 20 tahun lalu akan berendam dalam sungai sebaik pulang dari sekolah bagi membantu ibu dan ayah mencari tiram dan sekarang saya dan suami Md Robi Omar, 48, masih mencari tiram untuk membesarkan tujuh orang anak kami,” katanya.

Roslina berkata beliau boleh memoerolehi antara empat hingga lima kilogram isi tiram sehari dan jika dicampur dengan suami serta dua anak perempuannya, mereka boleh memperolehi kira-kira 20 kg isi tiram sehari.

Beliau berkata isi tiram dijual kepada orang tengah pada harga antara RM11 hingga RM13 se kilogram manakala jika dijual sendiri kepada orang perseorangan ia boleh mencecah sehingga RM18 sekilogram selain bergantung pada musim.

Suami Roslina, Md Robi pula berkata, beliau menjual hasil isi tiram kepada orang tengah dan juga pengusaha kedai makanan kerana isi tiram banyak digunakan dalam masakan mee segera selain dibuat masak lemak, tom yam dan perencah sayur.

Najihah Daud, 37, ketika ditemui di bangsal mencungkil tiram pula berkata, beliau mula mencari tiram sejak bersekolah darjah lima. Anak ketujuh daripada 13 beradik itu berkata beliau bersama adik-beradik turun ke sungai membantu ibu mencari tiram sebagai sumber pendapatan utama menyara mereka sekeluarga.

Najihah yang turun bersama suami Mohd Azmi Ghani, 38 berkata mereka berdua boleh mendapat sehingga 10 kg isi tiram sehari dan seperti Roslina dan Md Robi, mereka suami isteri menjual isi tiram kepada orang tengah.

Katanya dengan pengalaman yang lama mencari tiram, menjadikan beliau mahir memilih tiram matang dan sesuai untuk dicungkil isi dan seterusnya membantu mengekalkan ekosistem pembiakan tiram.

Ditanya kenapa mencari tiram, Najiha berkata itu pekerjaannya dan suami sejak zaman remaja lagi pula tiram banyak terdapat di muara sungai yang airnya payau.

Tiram sumber pendapatan masyarakat tepi sungai
Roslina Zakaria mencari tiram di Sungai Che Derih di Kampung Che Derih hari ini. – BERNAMA

Kebiasaannya mereka turun ke sungai pada 10 pagi hingga 12 tengah dan pada sebelah petang, mereka mencungkil isi tiram atau jika ada hal di waktu pagi, mereka keluar mencari tiram di sebelah petang manakala kerja-kerja mencungkil isi ketam dilakukan pada waktu malam.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan dengan usaha para pencari tiram itu menjadikan Kelantan pembekal isi tiram kepada beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur dan Terengganu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini