Tingkat amalan, tinggalkan ‘royanan’ - Utusan Malaysia

Tingkat amalan, tinggalkan ‘royanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bulan Ramadan adalah bulan mulia penuh berkat. Kedatangannya ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Ramadan memberi ruang umat Islam untuk bermuhasabah, memperbaiki kekurangan diri dan memasang tekad untuk menjadi lebih baik dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Bulan ini juga adalah bulan perdamaian. Memaafkan orang lain dan memohon maaf jika ada kesalahan atau kesilapan sesama manusia. Pesanan ini juga tidak putus-putus diperingatkan oleh bijak pandai agama dalam kuliah-kuliah subuh sepanjang Ramadan ini.

Bagaimanapun tidak semua orang mahu mengambil semangat dan fadilat besar yang ada dalam bulan ini. Persengketaan, perselisihan faham dan perbalahan masih berterusan lebih-lebih lagi dalam bab politik. Nampaknya tidak ada orang mahu mengalah seketika pada bulan yang menganjurkan kebaikan kerana gandaan pahalanya cukup besar. Ketika sebahagian besar berlumba-lumba memburu ganjaran dijanjikan itu, ada juga segelintir tidak mempedulikan perkara itu sama sekali.

Dalam era internet tanpa batasan ini, media sosial adalah medan perang paling kejam dan menyayat hati. Peperangan secara maya ini tidak pernah terhenti walau sedetik. Buka dan bacalah laman Facebook, Instagram dan Twitter apabila timbul satu-satu isu terutama bab-bab politik. Tidak ada waktu kendur, sentiasa panas dan genting serta penuh dengan percikan api kebencian. Di medan pertempuran itu amat sukar mencari ulasan atau reaksi yang waras dan budiman. Yang banyaknya ialah tembakan demi tembakan menggunakan peluru kebencian dan perseteruan. Adalah satu dua komen yang baik-baik, namun biasanya tak boleh bertahan lama kerana akan direjam sampai mati!

Memuatkan artikel berkaitan…

Lihat apa yang berlaku beberapa hari lalu apabila genap setahun kerajaan baharu memegang tampuk pemerintahan. Kebetulan pula jatuh dalam bulan Ramadan. Nama lagi baru setahun jagung, sudah tentu banyak isu terutama tentang prestasi dan pencapaian kepemimpinan baharu ini. Ingat dalam keadaan lapar berpuasa, semua pihak akan lebih bersabar dengan menahan diri, kata-kata dan perbuatan tetapi perkara itu tidak berlaku.

Penyokong kerajaan dan pembangkang berperang sakan dalam media sosial. Kata-kata kesat, maki hamun, nista, hina-menghina, tuduhan dan kritikan menjadi peluru dalam pertelagahan alam maya itu. Masing-masing seronok menaip apa sahaja perkataan untuk menembak sasaran tanpa rasa malu dan hormat kepada kemuliaan bulan Ramadan. Maklumlah sasaran tidak berwajah dan tidak dikenali.

Ada juga yang bertelagah atas isu yang remeh-temeh, tidak masuk akal sehingga kelihatan sangat lucu dan tidak cerdik yakni bodoh. Isunya hanya kerana nama sejenis kuih-muih atau makanan tradisi tempatan. Pertelagahan mengenai makanan tradisi masyarakat setempat sebelum ini pernah berlaku antara dua negara kerana berebutkan hakcipta nama makanan tersebut. Negara A mendakwa itu makanan tradisi mereka walaupun makanan yang sama ada di negara B dan C kerana juadah tersebut sangat popular di Nusantara dan Asia. Isu tersebut kemudian reda dan berlalu begitu sahaja.

Terbaharu perselisihan hanya kerana nama kuih. Satu pihak mendakwa sejenis kuih yang berasal daripada nenek moyang mereka telah dicilok oleh satu kaum lain dan diberi nama lain. Mereka bertelingkah hanya kerana bentuk, nama dan bunyinya seakan-akan sama walaupun berlainan rasa. Bermula dengan perbincangan santai kemudian berlarutan sehingga menghina sesama sendiri. Isu tersebut bukan isu besar pun, isu nama kuih je pun! Tak berbaloi bergaduh pada bulan puasa ini kerana makanan tersebut makanan kegemaran rakyat pelbagai kaum dan banyak dijual di bazar-bazar Ramadan. Tolonglah cari isu lain yang lebih waras untuk dijadikan modal perdebatan.

Dalam media sosial ini ada macam-macam ragam manusia. Ada sesetengahnya seperti ketagihan untuk membuat hantaran provokasi, sinikal atau menghina invidivu lain. Mereka merasa tidak senang duduk, resah gelisah dan tidak tenteram jika tidak ada posting bernada sedemikian setiap hari.

Tambahan lagi kalau ada satu-satu isu yang disentuh terkena sedikit sebanyak batang hidung sendiri. Hari-hari yang dilalui dirasakan tidak sempurna, lesu, ada kekurangan dan macam ada sesuatu yang tidak kena tanpa posting-posting seumpama itu yang sesetengah netizen istilahkan sebagai `meroyan.’ Senario tersebut tidak terkecuali di bulan penuh keberkatan ini. Bulan mulia ini tidak mampu menjadi benteng menyekat segala kemahuan nafsu amarah sesetengah orang. Dengan sokongan dan dorongan menerusi lebih banyak ‘Like’ dan komen-komen menyokong, mengiyakan daripada kawan-kawan sudah cukup memberikan satu kepuasan klimaks.

Alangkah ruginya jika hari-hari yang ditempuhi sepanjang bulan ini hanya diisi dengan rasa marah, kebencian, ‘royanan’ sedangkan ibadah puasa yang dilaksanakan tidak mengajar sedemikian. Walaupun bukan mudah untuk memperoleh puasa yang mabrur, tetapi berusahalah untuk menjadi individu yang lebih baik dengan meninggalkan sisi-sisi negatif dalam diri sekurang-kurangnya sepanjang bulan ini. Wallahuaklam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini