KLANG – Sebarang tindakan terhadap mana-mana doktor yang dikesan menyokong kumpulan antivaksin adalah di bawah bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia (MMC), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kumpulan tersebut dan mengambil pendekatan untuk terus berdialog dengan golongan itu bagi menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin kepada semua bayi serta kanak-kanak.
“KKM memang sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan anti vaksin ini. Jika mereka mempunyai pendapat mereka (berkaitan suntikan vaksin), kita juga ada hujah kita sendiri.
“Mereka tidak boleh sekadar menyatakan pendapat mereka secara ‘satu hala’ saja, mereka perlu berdialog dengan kita dan kita bersedia untuk berkongsi pentas dengan mereka bagi bercakap mengenai isu ini jika mereka mahu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Ditanya mengenai bilangan doktor perubatan yang dikesan oleh KKM menyokong gerakan antivaksin itu, Dzulkefly berkata, pihaknya tidak ada membuat pemantauan mengenai isu berkenaan.











