Tiga suspek terlibat kegiatan pengganas diberkas - Utusan Malaysia

Tiga suspek terlibat kegiatan pengganas diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk seorang warga Indonesia ditahan polis pada 14 Mei lalu kerana disyaki terlibat dalam memberi sokongan kepada kumpulan Daesh untuk merancang dan melancarkan serangan di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) susulan daripada penangkapan empat suspek kumpulan pengganas Daesh di Terengganu dan Lembah Klang pada 5 hingga 7 Mei lalu. 

“Tangkapan pertama dilakukan pada 14 Mei lalu di Kuala Muda, Kedah melibatkan dua lelaki tempatan berusia 27 tahun yang telah telah disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis pada 13 Mei. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedua-suspek yang bekerja sebagai penjual burger dan pekebun ditahan ketika menyerah diri hasil daripada kerjasama dengan keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Menurut Abdul Hamid, kedua-dua individu tersebut juga pernah menjalani latihan membuat bom di Jogjakarta, Indonesia pada 2018 yang dikendalikan oleh kumpulan pengganas Jemaah Ansharut Daulah Indonesia. 

“Mereka juga telah mempelajari kaedah untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh digunakan untuk letupan berskala besar dan bom kenderaan.

“Suspek juga dikesan melakukan tinjauan ke beberapa gereja di sekitar Jogjakarta, Indonesia untuk melancarkan serangan termasuk disyaki merancang melancarkan serangan ke atas rumah ibadat milik bukan Islam di Malaysia dengan menggunakan kaedah serangan bom bunuh diri,” jelas beliau. 

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, tangkapan kedua pula melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia, 34 tahun yang diberkas hasil daripada maklumat orang awam.

“Suspek merupakan anggota Sel ‘Wolf Pack’ Daesh serta turut terlibat dalam rancangan melakukan pembunuhan serta serangan ke atas rumah ibadat milik bukan Islam di sekitar Lembah Klang. 

“Suspek terdedah dengan ideologi Daesh ketika menjalani hukuman penjara lima tahun di Surabaya, Indonesia,” jelasnya.

Tambah Abdul Hamid, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini