KUALA LUMPUR 14 Mei – Beraya tanpa jari, itulah nasib malang yang menimpa seorang pemuda apabila tiga jari tangan kanannya putus angkara bermain mercun di Kampung Tanjung Bundong, Fasa Dua, Kota Samarahan, Sarawak malam kelmarin.
Memetik laporan Utusan Borneo, sumber berkata, pemuda berusia 26 tahun itu dipercayai cuba menyalakan mercun yang dipegangnya.
Namun menurutnya, sebaik sahaja sumbu mercun itu dinyalakan, mercun itu tiba-tiba meletup di tangan pemuda berkenaan.
“Akibat insiden tersebut, tiga jari tangan pemuda itu putus,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Samarahan memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.47 malam kelmarin.
Difahamkan, pasukan APM Samarahan memberi rawatan awal sebelum membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE











