SHAH ALAM – Hasrat sepasang kekasih mencari ‘duit raya’ segera bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan menjual syabu dan ganja berakhir selepas diberkas di sebuah hotel bajet di pusat komersial Seksyen 7 di sini, semalam.
Serbuan pukul 1.10 pagi itu menahan kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun yang telah bergiat aktif sejak sebulan lalu.
Turut ditahan dalam serbuan di bilik lain hotel tersebut adalah lima pelanggan mereka berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan siasatan awal pasangan kekasih itu menjadikan bilik hotel tersebut sebagai lokasi pengedaran, pembungkusan dan tempat pelanggan melepaskan gian dadah.
“Mereka dipercayai ingin mencari ‘duit raya’ dengan menjual syabu berikutan harganya lebih mahal dan mendapat sambutan berbanding heroin.
“1 peket syabu dengan kuantiti 1 gram (g) mampu dijual sehingga RM100 bagi pasaran daerah ini sehingga dikatakan mampu meraih keuntungan mencecah RM20,000 seminggu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Baharudin, hasil serbuan tersebut berjaya merampas syabu seberat 187.9 g dan 5.97 g ganja dipercayai bekalannya diperoleh sekitar Lembah Klang.
Ujar beliau, hasil siasatan awal turut mendapati dadah-dadah itu dijual hanya menerusi kenalan rapat sahaja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kita turut mendapati pasangan kekasih ini menggunakan beg alat solek bagi menyimpan dadah dan alat penimbang.
“Selain itu, mereka juga didapati mampu membeli sebuah kereta jenis BMW 3 Series Coupe pada harga RM30,000 hasil penjualan dadah itu,” katanya.
Jelas Baharudin, ujian air kencing mendapati pasangan kekasih itu dan lima pelanggannya positif syabu.
“Kesemua mereka kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











