KUALA TERENGGANU 3 Mei – Kerajaan negeri akan mewujudkan pusat sehenti pencarian kerja tidak lama lagi bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekali gus mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penubuhan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) itu telah dipersetujui dalam mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri pada Rabu lalu.
Katanya, T-HRDC yang diletakkan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan berperanan sebagai pusat sehenti kepada bakal pekerja dan majikan untuk mendapatkan kerjaya dan tenaga kerja yang bersesuaian mengikut kemahiran serta kelulusan masing-masing.
“Dalam masa yang sama T-HRDC juga akan menilai atau mengkaji kategori-kategori yang diperlukan khususnya dalam sektor atau pasaran domestik kita di Terengganu ini.
“Insya-Allah pusat ini akan beroperasi secepat mungkin dan diharap dapat mengurangkan di samping memenuhi kehendak rakyat terutama belia di Terengganu yang berdepan dengan masalah pengangguran,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Terengganu 2019 di sini malam tadi.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan Terengganu antara negeri tertinggi kadar pengangguran di Malaysia dengan mencatatkan sebanyak 4.3 peratus pada tahun lepas.
Pengurus Jobs Malaysia Terengganu, Rosli Zakaria berkata, statistik tersebut masih tidak banyak berubah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, dua faktor dikenal pasti menjadi penyumbang utama kepada isu itu adalah kebanyakan rakyat negeri ini mempunyai kelayakan akademik dan berpendidikan tinggi.-UTUSAN ONLINE











