Terengganu terima zakat Tabung Haji RM6.52 juta - Utusan Malaysia

Terengganu terima zakat Tabung Haji RM6.52 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mei – Lembaga Tabung Haji hari ini mempersembahkan zakat Tabung Haji bagi negeri Terengganu berjumlah RM6.52 juta bagi tahun kewangan berakhir 2018 ke hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Menurut Tabung Haji, Sultan Mizan berkenan menerima bayaran zakat tersebut daripada Pengurus Besar (Operasi Domestik) Tabung Haji, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

Bayaran zakat bagi Terengganu itu mencatatkan peningkatan sebanyak 26.4 peratus berbanding tahun 2017 yang berjumlah RM5.16 juta, jelas badan berkanun tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahmad Ruzman berkata, setiap tahun, Tabung Haji melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosioekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf.

“Tabung Haji berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Terengganu bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya; Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkiply Muda; Yang Dipertua MAIDAM Terengganu, Datuk Osman Muda; Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Terengganu, M. Rozi Bidin dan Pengarah Tabung Haji Negeri Terengganu, Datuk Mohyen Mosman.

Menurut Tabung Haji, jumlah keseluruhan bayaran zakat Tabung Haji 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6 peratus kepada RM85.57 juta berbanding tahun 2017 iaitu RM67.61 juta.

Jelas badan itu lagi, pada tahun ini, Tabung Haji memperkasakan lagi tanggungjawab dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan.

“Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf,” jelas Tabung Haji.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini