CASCAIS 6 Mei – Pilihan utama, Stefanos Tsitsipas berjaya menundukkan Pablo Cuevas 6-3, 7-6 (7/4) untuk merangkul kejuaraan Terbuka Estoril semalam sekali gus memberikan kejayaan kedua kepada Greece dalam sukan tenis selepas Maria Sakkari menang di Rabat.
Tsitsipas, 20, meraih kejuaraan karier ketiganya selepas menjulang trofi di Stockholm, Oktober lalu dan Marseille, Februari lalu dan dijangka melonjak ke tangga kesembilan dalam ranking dunia yang akan dikeluarkan hari ini.
“Anda perlu berjuang hebat dan memberikan segala jiwa raga di gelanggang. Kejuaraan ini amat bermakna buat saya.
“Ia di gelanggang tanah liat, satu daripada permukaan gelanggang kegemaran saya. Gembira melengkapkan gelaran di tanah liat yang saya usahakan selama ini.
“Berikutnya di gelanggang rumput, mungkin juga beberapa gelaran tanah liat lagi tahun ini, ia pasti menakjubkan,” katanya.
Sabtu lalu, Maria merangkul gelaran sulung Jelajah WTA dengan kemenangan 2-6, 6-4, 6-1 ke atas pemain Britain, Johanna Konta pada final kejohanan gelanggang tanah liat Rabat. – AFP











