Teratak Twelve impi terbang tinggi - Utusan Malaysia

Teratak Twelve impi terbang tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Meskipun hanya berstatus kelab bola sepak kerdil yang diwakili oleh ‘budak-budak flat’, ia tidak menghalang pasukan berstatus setahun jagung, Teratak Twelve memasang impian tinggi untuk berjaya dalam arena bola sepak tempatan.

Biarpun telah ditubuhkan lebih 20 tahun lalu, kelab bola sepak tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai kelab Flat Sri Pulau Pinang tidak pernah bermain dalam mana-mana 
liga kompetitif sebelum diambil alih oleh seorang usahawan, Datuk Kamil Mohktar selaku penaung kelab pada tahun ini.

Pernah berpengalaman sebagai bekas pemain ketika mewakili pasukan negeri kelahirannya, Negeri Sembilan sekitar era 1990-an dalam Piala Presiden dan Piala Razak, beliau melihat pasukan Teratak Twelve yang diwakili budak-budak flat di sekitar Kuala Lumpur mempunyai masa depan dan berpotensi untuk melangkah lebih jauh jika diberi peluang dan ruang mencukupi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menceritakan lebih lanjut, Kamil berkata, minatnya untuk menaja dan menjadi sebahagian ahli keluarga Teratak Twelve bermula apabila beliau melihat sendiri kesungguhan pemain-pemain pasukan itu yang begitu komited dan berdedikasi menaikkan imej bola sepak di kawasan flat di ibu kota.

Katanya, meskipun pasukan tersebut serba kekurangan terutamanya dari segi kewangan dan peralatan, impian tinggi yang dimiliki oleh setiap pemain telah menimbulkan minat untuk dirinya berbakti demi sukan bola sepak yang diminatinya sejak kecil lagi.

Bermula dari saat itu, katanya, beliau mengambil keputusan untuk bersama-sama keseluruhan pemain 
dan pengurusan kelab tersebut bagi membangunkan Teratak Twelve supaya menjadi jenama membanggakan khususnya dalam kalangan ‘budak flat’.

“Pemain-pemain ini mempunyai cita-cita yang tinggi tetapi sayangnya tiada siapa pun yang hendak biayai perjalanan bola sepak mereka. Jadi saya terpanggil untuk berbakti dengan menyelesaikan urusan pembayaran padang, pendaftaran, mencari penaja dan pada masa sama saya tanggung sepenuhnya mereka bermain dalam Liga M4 anjuran Liga Bola Sepak Malaysia 
(MFL) untuk bersaing dengan 11 pasukan bola sepak lain.

“Alhamdulillah, setakat ini pasukan ini telah menunjukkan prestasi yang baik. Selepas menghabiskan tiga perlawanan dengan berada di tangga keempat. Saya menyasarkan pasukan Teratak Twelve mampu menamatkan musim pertama dalam liga ini sekurang-kurangnya di tangga keempat dan kemudian layak ke liga seterusnya,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Kamil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif 8ightplus Malaysia iaitu pengedar gelang tangan hologram (produk akupunktur tanpa jarum dari Korea Selatan), untuk layak memasuki Liga M3, Teratak Twelve perlu menempatkan diri dalam kelompok lapan teratas. Jika berjaya berada dalam kelompok enam ke atas mereka layak pula menyertai pusingan kelayakan Shopee Piala FA untuk musim hadapan.

Kamil berkata, sekiranya pasukan tersebut berjaya melangkah ke liga seterusnya ia merupakan pencapaian yang sangat membanggakan dan mampu menjadi pencetus semangat kepada budak-budak flat lain untuk buktikan kebolehan dan bakat kepada orang luar sekali gus menepis tanggapan negatif terhadap mereka.

Selain itu katanya, dalam usaha memantapkan lagi pasukan ini, beliau telah mengambil bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara, Mohd. Ivan Yusoff sebagai jurulatih untuk melatih barisan pemain pada setiap waktu petang.

Bercerita lebih lanjut, Kamil berkata, antara cabaran yang perlu dihadapinya ialah untuk menanam semangat dan keyakinan diri kerana rata-rata pemain kelab itu merasakan diri mereka kerdil berbanding pasukan-pasukan lain.

Pada masa sama, ujarnya, pemain-pemain ini juga perlu diasuh dan dididik supaya berdisiplin bukan sahaja dalam padang tetapi juga di luar padang bagi mengelakkan mereka melakukan perkara-perkara negatif.

“Bagi mendidik mereka menjadi lebih berdisiplin saya telah merancang pelbagai program amal dan kebajikan bersama pasukan. Antaranya menganjurkan perlawanan amal bola sepak bagi mengutip derma untuk bekas pemain Selangor, Allahyarham Anuar Bakar baru-baru ini dan mengadakan majlis memasak dan mengedarkan bubur lambuk pada setiap hari Ahad sempena kehadiran bulan Ramadan di sekitar kawasan flat di Cheras.

“Tujuan saya hanya satu iaitu untuk memberikan budak-budak flat ini beramal jariah dan berbakti semula kepada penduduk flat menerusi aktiviti yang mereka jalankan. Kalau hendak diikutkan, kita selalu mendengar tanggapan negatif terhadap budak-budak flat tetapi bukan semua berperangai begitu. Mereka juga mempunyai impian dan harapan cuma tiada siapa yang hendak membimbing mereka,” katanya.

Sementara itu, Kamil berkata, untuk perancangan masa hadapan beliau telah menubuhkan sebuah pasukan pelapis untuk Teratak Twelve dengan diwakili oleh pemain-pemain berusia di bawah 14 tahun yang dikenali sebagai Teratak Junior.

Pada masa sama, katanya, pada September ini beliau akan menganjurkan satu pertandingan liga khusus untuk pemain-pemain di bawah usia 14 tahun beraksi.

“Perjalanan liga ini akan ditaja sepenuhnya oleh 8ightplus Malaysia jadi di situ kita berpeluang mencungkil bakat-bakat baharu bola sepak dalam kalangan budak flat di sekitar Lembah Klang.

“Sebanyak 32 pasukan akan dipilih untuk menyertai liga ini dan saya merancang untuk mengadakan perlawanan seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan bersaing untuk memburu kejuaraan ini,” katanya sambil menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini