KUALA LUMPUR -Syarikat perkhidmatan makanan dan minuman layanan segera, Loob Holding Sdn. Bhd. (Loob Holding) melebarkan sayapnya ke Eropah menerusi pembukaan operasi outlet Tealive pertama di bandar Manchester, United Kingdom (UK) pada Jumaat lalu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, pembukaan kedai tersebut adalah dengan usaha sama rakan kongsi di sana, Legend Ventures Ltd.
Jelasnya, pencapaian tersebut telah dinantikan sekian lama sejak jenama Tealive dilahirkan di negara ini pada dua tahun lepas.
“Sejak kelahiran Tealive, kami berazam untuk membudayakan minuman teh moden ke seluruh pelosok Malaysia dan serata dunia.
“Kami menerima sokongan ribuan pelanggan ketika meluaskan perniagaan ke China, Vietnam serta Australia dan pengalaman ini dijadikan panduan untuk memasuki pasaran UK,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan baru-baru ini.
Antara perisa signatur yang menarik minat pelanggan di Manchester ialah Teh Susu Pearl perisa karamel, Matcha Latte Kacang Merah dan rangkaian Teh Ais Buah Segar yang dihidang bersama pulpa buah-buahan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Legend Ventures, Samuel Chin berkata, syarikat merancang membuka outlet kedua di London tahun ini dengan sasaran pembukaan lima outlet di UK dalam tempoh setahun pertama beroperasi.
“Kami berbesar hati dapat menjalin usahasama dengan Loob Holding yang merupakan pelopor kepada budaya teh moden di rantau Asia Tenggara.
“Menerusi pemahaman mendalam terhadap selok-belok perniagaan di Eropah, kami berharap dapat menjadikan perniagaan kami sebagai pintu masuk bagi jenama Tealive untuk meluaskan jejaknya di rantau ini,” katanya.
Tealive kini memiliki lebih 250 kedai di Malaysia dengan tiga juta pelanggan setiap bulan. Dengan sasaran pembukaan sebanyak 1,000 outlet di 15 buah negara merentasi empat benua, Tealive mahu menjadi sebuah jenama teh gaya hidup bertaraf global dalam tempoh dua hingga tiga tahun.











