LABUAN 24 Mei- Seorang juragan bot ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai menangkap ikan secara haram di perairan Labuan semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamed Pajeri Ali berkata, lelaki warga Filipina berusia 31 serta berstatus penduduk tetap itu ditahan ketika pihaknya menjalankan Op Gelora Khas kira-kira pukul 5.50 petang di kawasan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot pancing suspek mendapati dia tidak mempunyai permit atau lesen untuk menangkap ikan di perairan Labuan serta lesen bot tersebut telah tamat tempoh.
“Bot itu disita serta satu tong ikan seberat 30 kilogram turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM9,535.
“Suspek serta barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Labuan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pihak PPM akan sentiasa menjalankan operasi dan meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti haram di kawasan perairan.-UTUSAN ONLINE











