KUALA LUMPUR 24 Mei – Taekwondo Malaysia (TM) mungkin perlu melantik seorang jurulatih baharu acara kyorugi dari Korea Selatan bagi menggantikan rakan sepelatih atlet negara sekarang, Kim Hyeong-seob pada awal Julai ini.
Pengarah Teknikal TM, R. Dhanaraj berkata, calon penggantinya, Chun Si Jin merupakan jurulatih skuad para kebangsaan Korea Selatan yang lebih berpengalaman berbanding rakan senegaranya itu yang hanya berusia 27 tahun.
“Jawatankuasa Kejurulatihan TM berpendapat, dia terlalu muda untuk jadi jurulatih tetap namun mempunyai kelebihan dalam aspek kemahiran,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara-TM di Bukit Jalil hari ini.
Hyeong-seob juga dikatakan pernah menjadi rakan sepelatih kepada bekas juara dunia tiga kali dan pemenang pingat Sukan Olimpik 2012 dan 2016 serta juara Sukan Asia tiga kali, Lee Dae-hoon.
Namun kata Dhanaraj, rakan sepelatih Korea itu mempunyai kontrak sementara sehingga akhir bulan depan sejak berkhidmat dengan skuad negara pada bulan lalu dan masih dinilai dalam tempoh tersebut.
“Calon baharu jurulatih dari Korea pula seorang yang berpengalaman namun gaji bulanan yang dimintanya lebih tinggi, AS$3,500 (RM14,655). Kami juga perlu bincang dengan Universiti Nasional Korea dan persatuan taekwondo negara itu bagi mendapatkan khidmatnya.
“Bagi acara poomsae, TM tiada masalah kerana atlet kita berjaya meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia tahun lalu di bawah seorang perunding dari Korea yang kini telah diserapkan sebagai jurulatih tetap,” katanya.
Bagi Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini dengan venue taekwondonya di Stadium Ninoy Aquino, Manila, katanya, TM meletakkan sasaran dua emas kepada atlet lelaki dengan satu bagi kyorugi dan satu poomsae.
Setiap negara peserta Sukan SEA hanya boleh menyertai lima daripada tujuh acara kyorugi yang dipertandingkan dalam kedua-dua kategori jantina dengan Malaysia tidak menghantar atlet bagi fin dan feather (lelaki) dan fly dan bantam (wanita).
“Skuad negara baru-baru ini menyertai Kejohanan Persekutuan Taekwondo ASEAN dengan meraih dua emas, lima perak dan empat gangsa kyorugi menerusi Ahmad Norikman Hakim Rakib (bantam) dan Muhammad Syafiq Zuber (light),” katanya. – UTUSAN ONLINE











