KLUANG 15 Mei – Pasaraya Econsave menyasarkan kutipan sebanyak RM3 juta untuk tabung ‘Medical for Gaza’ bagi membantu meringankan beban penduduk yang tinggal di bumi bergolak, Palestin, terutamanya menjelang Syawal, tahun ini.
Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, semenjak dilancarkan pada bulan Februari lalu, kini pihaknya telah berjaya mengumpul dana lebih kurang RM500,000.
Katanya, hasil sumbangan orang ramai itu akan disalurkan oleh pihaknya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan ke Palestin, dijangkakan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Insya-Allah…jika tiada halangan, saya sendiri akan turut serta dalam misi bantuan berkenaan dan saya berharap lebih ramai lagi akan menyumbang bagi membantu mereka di sana (Palestin).
“Bagi orang ramai yang ingin menyumbang, mereka boleh menderma di tabung misi bantuan ini yang diletakkan di pintu masuk semua cawangan Pasaraya Econsave dan saya yakin pada bulan Ramadan ini akan lebih ramai lagi akan menyumbang,” katanya kapada pemberita.
Beliau berkata sedemikian ketika Majlis Bingkisan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama Asnaf yang dianjurkan secara bersama dengan Pusat Khidmat Anggota Parlimen Simpang Renggam,di Pasaraya Econsave Simpang Renggam, malam tadi.
Sementara itu, seramai 100 asnaf di sekitar Simpang Renggam menerima baucar perbelanjaan di pasar raya berkenaan sebanyak RM150 dalam usaha pasar raya itu membantu golongan yang memerlukan terutama setiap musim perayaan utama. – BERNAMA











