KUALA LUMPUR 13 Mei – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) pendapatan berjumlah RM623 juta dan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2019.
Tabung Haji berkata, pendapatannya dijangka terus meningkat mulai suku kedua susulan penerbitan sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan perlaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu.
Katanya, kedudukan kewangan Tabung Haji juga semakin kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion, disokong oleh peningkatan prestasi portfolio pelaburan serta kualiti keseluruhan aset yang sihat setelah rosot nilai dibuat pada tahun 2018.
“Tabung Haji mencatatkan prestasi yang mampan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, hasil daripada kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan pada akhir Disember 2018.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini juga, lebih daripada 91,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya meningkatkan jumlah
keseluruhan pendeposit TH kepada 9.3 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











