ARAU 12 Mei – Seorang suri rumah maut dalam kemalangan langgar lari yang melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 24, Jalan Changlun-Kuala Perlis di sini, hari ini.
Mangsa, Siti Malinda Baharom, 55, yang berasal dari Kampung Huma, Alor Janggus, Alor Setar, Kedah, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi ketika mangsa sedang menunggang sebuah motosikal jenis Honda seorang diri sebelum sebuah kenderaan merempuhnya dari belakang.
“Kenderaan tersebut turut merempuh sebuah lagi motosikal juga jenis Honda yang mengakibatkan penunggangnya cedera parah. Kedua-kedua motosikal itu terbabas dan remuk di lokasi kejadian.
“Semasa kejadian, cuaca dalam keadaan baik manakala jalan lurus dan kering,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kata jurucakap itu, mangsa yang cedera parah serta jenazah Siti Malinda dihantar ke Unit Kecemasan dan Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof mengesahkan kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











