Sultan Nazrin zahir keinginan lihat masjid bebas politik - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin zahir keinginan lihat masjid bebas politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Mei – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi mengakui kesemua pemimpin enam parti di negeri ini telah dititahkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung penyalahgunaan masjid oleh parti-parti politik semalam.

Asmuni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, dalam pertemuan itu, Sultan Nazrin telah menzahirkan keinginan baginda untuk melihat masjid kembali kepada matlamat asal dan bebas daripada politik.

“Tuanku bertitah kalau hendak berbuka puasa dan sampaikan sumbangan buatlah tetapi tidak berbaur politik, mempunyai hubungan politik dan memasang gegantung politik. Sebab itu tuanku kata bagi sahajalah sumbangan, tak payah berucap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya berlaku lagi, seperti dititahkan tuanku, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau itu akan digantung, dibuat siasatan serta mungkin kalau didapati melakukan pelanggaran kepada peraturan yang ada, mereka akan ditukar,” katanya.

Asmuni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata demikian ketika ditemui pada program membeli-belah baju raya melibatkan 100 orang anak yatim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang julung kalinya diadakan di Mydin Manjoi, hari ini.

Selain Asmuni, lima lagi pemimpin parti yang dipanggil menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah pada petang semalam ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

Dalam pada itu, Asmuni berkata, penyalahgunaan masjid pada akhir-akhir ini di bulan Ramadan, khususnya oleh UMNO dan Pas dengan membawa lambang parti, telah menimbulkan kegelisahan kepada penduduk setempat.

Menurut Asmuni, adalah tidak salah sekiranya mereka diundang untuk menyampaikan sumbangan tetapi bukan membawa program parti ke masjid.

“Namun, yang berlaku sekarang ini, mereka hendak buat tadarus al-Quran pun pasang gegantung, lambang UMNO dan Passeolah-olah masjid ini tempat untuk mempromosikan parti masing-masing.

“Malahan, baru-baru ini Wanita UMNO adakan mesyuarat agung tahunan di masjid,” katanya.

Tambah Asmuni, dengan titah menghadap Sultan Nazrin melibatkan kesemua pemimpin parti politik itu, beliau mengakui lega kerana tiada lagi tekanan kepadanya sebagai exco agama berhubung perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini