KUALA LUMPUR 22 Mei – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong semalam meluangkan masa berbuka puasa bersama pengarang-pengarang sukan media tempatan, sambil membincangkan beberapa isu semasa.
Ini adalah kali pertama perbincangan seperti itu diadakan, dan antara topik yang dibincangkan adalah persiapan Sukan Olimpik 2020, Program Podium 2.0 hinggakan kepada dasar serta strategi sukan.
Steven juga mendapatkan pandangan mengenai isu-isu semasa yang dihadapi sukan negara ketika ini, selain berkongsi idea bagaimana Malaysia dapat melahirkan lebih ramai bintang seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy) dan Azizulhasni Awang (berbasikal).
“Saya harap, kita dapat bertemu lagi selepas ini untuk sama-sama duduk membincangkan mengenai sukan negara dan hala tujunya.
“Media memainkan peranan penting untuk memberi pencerahan tentang dasar dan pengurusan sukan dan pemegang-pemegang taruh yang terlibat,” kata Steven. – UTUSAN ONLINE











