PUTRAJAYA 8 Mei – Wisma Putra memberitahu, kerajaan telah mengemukakan surat penarikan diri penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 April lalu, , selaku depositori bagi triti tersebut.
Menurut Wisma Putra, surat penarikan diri itu dihantar setelah kerajaan mengambil kira semua langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan proses penarikan diri tersebut.
“Pihak PBB akan mengeluarkan nama Malaysia daripada senarai Negara-Negara Pihak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa setelah pihak PBB melengkapkan prosedur penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Wisma Putra lagi, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 April lalu telah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik diri penyertaannya ke Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Tambahnya, isu penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom juga telah disentuh semasa sesi penggulungan Dewan Negara pada 30 April lalu di mana persoalan mengenai perkara ini telah dijawab oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC pada 4 Mac lalu.
Bagaimanapun, pelbagai pihak membantah keputusan kerajaan itu kerana didakwa membelakangkan Majlis Raja-Raja, selain bimbang campur tangan luar.
Kerajaan akhirnya memutuskan untuk menarik diri daripada meratifikasi statut berkenaan, namun ia terus menimbulkan persoalan apabila nama Malaysia didapati masih berada dalam senarai PBB bagi negara yang menyertai statut berkenaan. – UTUSAN ONLINE











