ST diarah siasat dakwaan bil elektrik tinggi - Utusan Malaysia

ST diarah siasat dakwaan bil elektrik tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Mei – Kerajaan telah mengarahkan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menyiasat dakwaan pengguna dikenakan bil elektrik yang tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, siasatan adalah untuk mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut.

Beliau berkata, ST menerima aduan lebih tinggi iaitu sebanyak 359 aduan pada bulan ini sahaja, kebanyakkannya iaitu 286 aduan berkaitan meter pintar dan kenaikan bil yang tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada April lalu, ST hanya menerima 94 aduan (17 aduan berkaitan meter pintar dan kenaikan bil tinggi).

“Kerajaan memandang serius tentang isu berkaitan bil elektrik yang tinggi kepada pengguna di seluruh negara.

“Sebagai sebuah syarikat utiliti kita berasa TNB perlu lebih bertanggungjawab dalam pengiraan caj dan juga layanan mereka kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di Suruhanjaya Tenaga di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi ST, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan.

Menurut Bee Yin, ST yang diberi tempoh 14 hari, telah mengadakan pertemuan dengan TNB pagi ini bagi membincangkan masalah tersebut.

Bagaimanapun ST memberitahu, pihaknya tidak berpuas hati dengan alasan diberikan TNB antaranya bil elektrik adalah bagi tempoh 38 hari.

Sehubungan itu katanya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh ST bagi menyelesaikan masalah itu dan jika gagal tindakan boleh diambil ke atas syarikat utiliti berkenaan.

“Berdasarkan kepada undang-undang yang dikuatkuasakan, pihak ST boleh mengeluarkan notis kepada TNB untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi mengatasi masalah yang timbul daripada aduan-aduan berbangkit.

“Di antara undang-undang yang yang terpakai adalah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990 di mana TNB hendaklah memenuhi standard operasi pembekalan dan perkhidmatan pengguna elektrik.

“ST boleh mengambil tindakan ke atas sebarang ketidakpatuhan umdang-undang termasuk pendakwaan kesalahan di mahkamah,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan pengguna untuk ke pejabat TNB terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah bil mereka, dan sekiranya gagal baharulah mengemukakan aduan kepada ST untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini