KUALA LUMPUR 7 Mei – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan melakukan siasatan di bawah Seksyen 122, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) berhubung kejadian paip pecah di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping.
Pengerusi SPAN, Charles Santiago dalam satu kenyataan berkata, di bawah undang-undang tersebut, tiada seorang pun boleh dengan sengaja, cuai atau melulu merosakkan atau menyebabkan apa-apa paip dirosakkan, saluran atau bahagian daripada mana-mana sistem bekalan air awam.
“SPAN juga akan terus memantau secara rapi kerja-kerja pembaikan ke atas paip-paip tersebut bagi memastikan bekalan air pulih dengan segera,” katanya di sini hari ini.
Menurut SPAN, kejadian itu mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna di 65 kawasan di Wilayah Klang yang melibatkan sebanyak 175,036 akaun pengguna, khususnya yang mendapat bekalan air dari Kolam Air Bukit Lipat Kajang.
“Paip-paip yang terlibat adalah tiga jajaran paip utama yang berdiameter 1,400milimeter (mm), 900mm dan 600mm.
“Susulan kejadian ini, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah melaksanakan tindakan menutup injap bekalan ke paip berkenaan dan menjalankan pembaikan dengan segera,” katanya.
Tambah beliau, kejadian paip pecah itu berkemungkinan disebabkan oleh pergerakan tanah yang berlaku di kawasan tersebut.
“Kerja-kerja pembaikan mengalami kesukaran ekoran keadaan tapak yang masih berlaku pergerakan tanah dan pasukan Air Selangor sedang berusaha menyiapkan kerja pembaikan secepat yang mungkin dengan pemantauan oleh SPAN,” katanya. – UTUSAN ONLINE











