LONDON 7 Mei – Bos Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bersedia untuk melepaskan Paul Pogba pada musim panas ini, jika bintang antarabangsa Perancis itu tidak lagi berminat untuk bermain bersama kelab tersebut.
Pogba dipercayai berminat untuk berpindah ke Real Madrid dan kegagalan United menempah slot kelayakan ke Liga Juara-Juara telah menyebabkan keinginannya beralih angin ke Bernabeu semakin membara.
United telah berbelanja sebanyak 89 juta pound (RM483 juta) bagi mendapatkan khidmat Pogba pada 2016 dan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward melihat pemain tengah itu sebagai simbol penting Red Devils di peringkat global.
Woodward menyekat Pogba daripada menyertai Barcelona, musim panas lalu, apabila bintang Piala Dunia itu berselisih faham dengan Jose Mourinho. Solskjaer, juga, menyuarakan hasratnya untuk mengekalkan Pogba, tetapi, sejak kebelakangan ini, pengurus itu keberatan memberi jaminan sama ada pemain berkenaan kekal bersama kelab pada musim panas ini.
ESPN mendakwa, Solskjaer dan Woodward tidak bersetuju tentang keputusan berhubung masa depan Pogba dengan warga Norway itu berpendapat kelab tidak sepatutnya mengekalkan pemain yang tidak lagi berminat beraksi bersama United.
Woodward pula berpendapat pemergian Pogba hanya akan merosakkan reputasi United, tetapi, Solskjaer kurang berkemampuan untuk membawa ‘penumpang’ menjelang musim penuhnya di United.
Bagi pihak Pogba, pemain itu dikatakan nekad untuk meninggalkan United, walaupun kelab masih berpegang teguh untuk tidak menerima sebarang tawaran dari luar. Ejen pemain itu, Mino Raiola dijangka mengadakan rundingan dengan kelab sebaik musim berakhir dan akan memaklumkan Pogba mahu meninggalkan Red Devils. – AGENSI











