SETELAH berakhirnya Perang Dunia Kedua, pemerintahan beraja mulai mencapai zaman kemerosotannya kerana timbul kepelbagaian ideologi dan prinip pemerintahan moden yang lebih ideal pada ketika itu seperti republik dan demokrasi.
Satu persatu sistem pemerintahan beraja mula hilang pengaruhnya kepada rakyat dan sehingga kini hanya tinggal 43 kerajaan di dunia yang masih mengamalkan sistem ini dengan Ratu Elizabeth II menjadi pemerintah di 16 buah negara.
SISTEM BERAJA DI 43 NEGARA
Daripada 43 negara itu, 36 buah negara mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan sementara lima negara yang lain mengamalkan sistem beraja kuasa mutlak manakala dua negara iaitu Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengamalkan sistem beraja campuran mutlak serta berpelembagaan.
Negara yang mengamalkan sistem beraja mutlak adalah Brunei, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Switzerland manakala negara yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan adalah Austria, Belgium, Bhutan, Kemboja, Jepun, Thailand, Lesotho, Luxembourg, Malaysia, Monaco, New Zealand, Sweden dan Britain.
Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran selama lima tahun dari sembilan negeri ketika jawatan itu di negara-negara lain dipegang seumur hidup dan bersifat turun-temurun.
Meskipun Thailand, Jepun dan Britain mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan namun ‘pelaksanaannya’ agakberbeza dengan negara-negara lain.
Menurut sarjana politik terkenal, K. Ramanathan dalam bukunya, Asas Politik edisi ketiga, kedudukan raja di negara-negara itu amat dihormati dan dipandang tinggi oleh rakyatnya. Raja mempunyai kuasa mutlak dan beliau tidak boleh ditandingi oleh orang lain.
SISTEM MAHARAJA JEPUN TERUS DIPELIHARA
Di Jepun, keistimewaan yang dimiliki ini dikaitkan dengan konsep ketuhanan di mana raja dikatakan sebagai wakil tuhan dan memiliki kuasa ketuhanan. Dengan kata lain, rakyat terpaksa menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan menuruti segala titahnya dan ianya akan menjadi kesalahan sekiranya titah itu tidak dipatuhi.
Sebagai contoh, masyarakat Jepun percaya bahawa maharaja mereka berasal daripada keturunan Amaratsu iaitu dewa matahari. Begitu juga di Myanmar, Thailand dan Indocina yang mengangggap raja-raja mereka mempunyai kaitan dengan kesucian dan pengaruh Buddha Theravada.
Maharaja Jepun dipanggil Tenno dalam bahasa ibunda mereka, yang bermaksud ‘raja dari syurga’. Lebih unik lagi, Mahajara Jepun adalah satu-satunya raja yang memerintah di dunia ini dengan menggunakan gelaran Maharaja.
Kerabat diraja Jepun adalah raja warisan berterusan yang tertua di dunia. Empayar Jepun itu dikatakan diasaskan pada 660SM oleh Maharaja Jimmu yang kini diwarisi oleh Putera Mahkota Naruhito mulai 1 Mei lalu selepas bapanya, Mahajaraja Akihito turun takhta.
Tindakan Maharaja Akihito itu sekali gus memecah tradisi keluarga diraja Jepun yang sebelum ini pertabalan hanya akan diadakan selepas seseorang maharaja itu meninggal dunia.
Tiga tahun lalu, Maharaja Akihito, 85, yang pernah menjalani rawatan barah prostat dan pembedahan jantung mengumumkan beliau mahu menurunkan takhta kepada putera sulungnya, Naruhito, 59, bimbang umurnya semakin meningkat dan akan menyukarkan beliau untuk menjalankan tugas.
THAILAND MENGEKALKAN SISTEM BERAJA BERPELEMBAGAAN
Sama seperti Jepun, Thailand juga mempunyai sistem berajanya yang menduduki tempat istimewa dalam dunia kontemporari. Sistem beraja Thailand mempunyai susur galur yang bersejarah.
Satu-satunya negara ASEAN yang tidak pernah dijajah, Thailand dahulunya Siam menampilkan ciri-ciri sebagai sebuah negara moden. Ini bagi mengelakkan Thailand daripada dijajah. Kemampuan berbuat demikian adalah antara proses pemodenan yang dilakukan oleh Raja Mongkut diikuti Raja Chulalongkorn bagi menguatkan negara mereka. Dalam sejarah moden, antara raja yang melakukan proses pemodenan pada zaman itu adalah Maharaja Meiji di Jepun dan Raja Mongkut di Siam.
Ketika era Raja Bhumipol Adulyadej, antara permodenan yang dilakukan adalah terhadap perkhidmatan awamnya, ketenteraan dan sistem politik. Sebab itulah Thailand muncul sebagai negara yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan walaupun demokrasi berparlimen banyak kali dibatalkan oleh pihak tentera.
Maka atas faktor itu, putera tunggal Bhumipol, Raja Maha Vajiralongkorn yang secara rasmi menaiki takhta kelmarin diharap dapat menjadi penaung Thailand seperti ayahandanya yang berjaya menstabilkan negara dalam pelbagai situasi genting selama 70 tahun.
Vajiralongkorn adalah pemerintah ke-10 monarki Dinasti Chakri yang diasaskan sejak 1782.
Bagi kebanyakkan rakyat Thailand, ia adalah pengalaman pertama menyaksikan pertabalan gilang-gemilang itu sejak upacara terakhir diadakan pada 1950 ketika pertabalan ayahnandanya.
Tiga hari sebelum pertabalan, baginda yang juga dikenali sebagai Maha Rama V membuat kejutan apabila mengumumkan perkahwinan keempatnya dengan bekas pramugari Thai Airways, Suthida sebelum menganugerahkan wanita berpangkat jeneral itu gelaran permaisuri.











