“JIKA kami gagal atau mungkir janji, tolaklah kami,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam laporan HarakahDaily pada 17 Februari lalu. Pasti ramai masih ingat apa yang Dr. Mahathir sebut.
Maka diukur dari segi janji yang ditabur, nyata Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal melunaskan tanggungjawabnya dan seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk rakyat sejak setahun lalu.
Perdana Menteri sendiri hanya memberikan markah 5/10 kepada anggota kabinetnya. Ini sudah boleh dinilai tahap kemampuan mereka. Dan banyak organisasi atau agensi tertentu misalnya Merdeka Centre yang cenderung kepada kerajaan PH menilai tahap populariti PH jatuh menjunam.
Hari ini genap setahun memerintah tetapi PH masih dengan naratif ‘penipuan fakta’ dan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sebagai senjata untuk membina perisai terhadap keresahan rakyat dan kegagalan mereka mengendalikan negara ini.
Justeru dalam tempoh setahun ini, saya boleh kategorikan Kerajaan PH dalam lima ciri yang utama :
1.1 Memutar belit isu.
1.2 Menukar kulit.
1.3 Suka salahkan orang lain.
1.4 Tidak tepati janji.
1.5 U-turn dan cakap sesuka hati.
MEMUTAR BELIT ISU
Realitinya sejak 9 Mei 2018, Kerajaan PH masih terkontang-kanting dalam melaksanakan banyak polisinya. Mereka melakukan putar belit dalam banyak perkara umpamanya mengenai hutang negara. Hutang negara didakwa sebanyak RM1 trilion walau ternyata palsu dan sengaja diada-adakan. Sedang mengikut rekod hutang ditinggalkan oleh BN hanya RM686.8 Bilion.
Naratif yang dicipta mudah dibaca. PH mahu gambarkan BN tinggalkan masalah pada PH. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng lancarkan Tabung Harapan Rakyat yang kini tidak jelas ke mana wang itu dibelanjakan demi mewujudkan persepsi BN tinggalkan negara ini dengan pelbagai masalah. Kemudian PH ‘melakukan propaganda’ mahu dilihat menjadi juara menyelesaikan masalah umpamanya dalam isu Tabung Haji.
Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diketuai Tun Daim Zainuddin juga dilihat gagal kemukakan cadangan konkrit. Sudah setahun masih tidak nampak apa hasil CEP. Prof. Jomo yang dikatakan pakar ekonomi juga tidak nampak jelas peranannya. Kenyataannya juga lebih banyak bersifat politik dan ada kalanya tidak profesional. Hakikatnya, hutang negara dalam tempoh setahun meningkat kepada RM785.2 Bilion, meningkat sebanyak RM98.4 Bilion pada 15 April 2019 berbanding RM686.8 Bilion sebelum Mei 2018. Ini belum dicampur RM82 bilion yang kerajaan PH ambil daripada Petronas.
Kesan manipulasi putar belit hutang negara dan mencanang negara mahu bankrap akhirnya mendorong kepada kejatuhan indeks di BSKL dari tahun 2018, 1,846 mata jatuh kepada 1,629 mata. Bloomberg melaporkan prestasi BSKL adalah terburuk di dunia. Nilai ringgit menjunam dari RM3.81 sebelum 9 Mei 2018 kepada RM4.14 bacaan terkini. Pelabur asing hilang keyakinan dan berlaku penyusutan modal pasaran.
Semua ini adalah fakta walaupun Guan Eng semasa berucap dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan berkata, ekonomi telah pulih. Namun badan penarafan antarabangsa seperti Moddy, Morgan Stanley menyatakan ekonomi Malaysia telah jatuh dan memberi penarafan negatif.
‘MENUKAR KULIT’
Hakikatnya, kerajaan PH adalah ‘kerajaan tukar kulit’. Dalam tempoh setahun hampir tidak nampak jelas perkara baharu yang dilakukan melainkan menukar nama, melaksanakan apa yang kerajaan BN dahulu lakukan. Nama-nama ‘tersohor’ seperti Mazlan Aliman, Rafizi Ramli, Wan Saiful Wan Jan, Nik Nazmi yang menjadi jaguh mengkritik pelbagai polisi, dasar dan program BN dahulu terus tenggelam sekarang.
Mungkin mereka selesa di kerusi empuk sekarang. Isu PTPTN bagaimana? Janji PTPTN akan kemukakan kaedah baharu bayar balik senyap sampai sekarang. Hampir kebanyakan yang mereka dakwa tidak elok sewaktu mereka pembangkang, kini telah dan dilaksanakan semula. Hanya ditukar kulit seolah- olah rakyat tidak tahu dan dilihat baharu. Di PTPTN, mereka hanya melaksana apa yang BN lakukan dulu sahaja, walaupun dulu mengkritiknya.
BRiM dijadikan BaSaH. SPAD menjadi APAD, IM4U diubahsuai? UTC dinamakan PKD agar nampak baharu, AES kepada AWAS, Klinik 1Malaysia kini Klinik Komuniti. Malah Permata yang menjadi bahan fitnah dan kempen PH hari dengan bangga dilaksanakan semua. Ditukar kepada Genius. Sepatutnya kalau bermaruah, batalkanlah apa yang mereka kritik dahulu.
SUKA SALAHKAN ORANG LAIN
Ini sering berlaku. Lihat bagaimana Dr. Mahathir menyalahkan Donald Trump di atas kejatuhan nilai ringgit di pasaran matawang. Dengan penjualan aset negara dan kerugian pertama Permodalan Nasional Berhad sebanyak RM6 bilion, membuktikan betapa rakusnya ‘kerajaan sepenggal’ ini meratah kekayaan negara untuk diri mereka sendiri. Selepas BN membina kekayaan dan kesenangan rakyat selama puluhan tahun, PH mengambil masa yang singkat untuk menjahanamkannya. Mereka memberi alasan penjualan terpaksa dibuat kerana banyak kelemahan dibuat BN dahulu.
Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah dan Sarawak juga menghampakan negeri Malaysia Timur. Tetapi bila gagal dilaksana, mereka salahkan BN kerana menolak sedangkan apa yang dibuat hanya melepaskan batok di tangga. Bila saiz perkhidmatan awam hendak dikurangkan pula selepas ratusan ribu rakyat hilang kerja sejak mereka memerintah, BN juga disalahkan kononnya kerana mewujudkan banyak jabatan dan jawatan yang bertindih tugas.
TIDAK TUNAIKAN JANJI
Selepas menjadi kerajaan, masih lagi berjanji. Janji menghapuskan tol masih tidak ditunaikan. Bagaimana pula dengan janji menghapuskan PTPTN dan janji mula bayar di tangga gaji RM4,000? Penurunan harga petrol ke paras RM1.50 seliter dan menghapus hutang peneroka? Ini baru sebahagian kecil janji daripada puluhan janji lain.
PH sebaliknya memberi tumpuan kepada projek, golongan kaya dan rakyat asing umpamanya menghidupkan kembali Litar F1 Sepang, projek Kereta Nasional Ketiga, projek berbilion ringgit untuk Pulau Pinang, kereta terbang, Lapangan Terbang Kulim Kedah dan lain-lain.
U-TURN, CAKAP SESUKA HATI
Projek yang mereka anggap pembaziran sewaktu menjadi pembangkang diteruskan semula apabila menjadi kerajaan? Ini termasuklah ECRL, Menara TRX dan Bandar Malaysia. Selain flip-flop dan U-turn yang makin ketara, menteri-menterinya bercakap sesuka hati, tidak logik dan tidak berinti. Sebagai contoh apabila Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub berkata, harga ikan dan sayur akan merosot 30 peratus tanpa GST dan harga barangan keperluan lain akan turun 70 peratus. Apa yang terjadi adalah sebaliknya apabila ada barangan yang harganya melambung lebih 100 peratus sejak SST dikuatkuasakan.
Dari aspek politik, mungkin Dr. Mahathir mendapati kian sukar mengawal Kabinet rapuhnya. Dengan masalah dalaman Bersatu, PKR dan DAP, beliau mungkin melihat cahaya di hujung terowong untuk PH makin malap dan menunggu padam. Ekoran itu beliau mencari jalan memujuk dan mengugut Ahli Parlimen UMNO yang disyaki bermasalah menyertainya bagi memperkuatkan parti Bersatu di dalam PH.
Dalam tempoh setahun ini juga dapat kita lihat bagaimana kedudukan Institusi Raja Melayu, agama Islam, kaum Melayu dan bumiputera disisih kerajaan PH. Kepada yang mempertahankan raja, Islam dan Melayu dilabelkan rasis.
Dan yang paling utama ialah persoalan mengenai siapa sebenarnya yang menguasai kerajaan. Who is the king maker? Kerana itulah timbul isu ICERD dan Statut Rom dan nampak jelas kerajaan PH gagal menegakkan rule of law.
Hakikatnya, ternyata di bawah Kerajaan PH ini adalah ‘setahun yang gagal’.
DATUK DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH ialah Ketua Penerangan UMNO.











