Setahun tidak cukup! - Utusan Malaysia

Setahun tidak cukup!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH )mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 9 Mei tahun lalu banyak pihak yang menaruh harapan tinggi supaya keadaan ekonomi negara menjadi lebih baik dan tawaran-tawaran dalam manifesto PH ditunaikan demi kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, tugas PH untuk menguruskan ekonomi negara tidak semudah disangka dan sentiasa berhadapan dengan kritikan orang ramai yang tidak berpuas hati apabila banyak tawaran dalam manifesto PH tidak dilaksanakan dan pada masa sama, harga barangan juga tidak turun seperti dicanang.

Bagi mendapatkan pandangan yang lebih adil mengenai prestasi kerajaan PH menguruskan ekonomi negara sepanjang setahun wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurufoto, AZLINA OTHMAN dan juruvideo, AZMAN AHMAD menemu bual Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI dan turut mendapatkan pandangan daripada Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), PROF. MADYA DR. MOHD. YUSOF SAARI, baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

MINGGUAN: Sepanjang setahun bagaimana kerajaan PH menguruskan ekonomi negara?

NOOR AZLAN: Tahun 2018 dianggap sebagai mencabar kerana kita mempunyai sebuah kerajaan baharu setelah lebih 60 tahun merdeka dan pada masa sama, keadaan ekonomi dunia juga dilihat agak mencabar berpunca daripada ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, maksudnya kedua-dua masalah ini datang serentak.

Kalau hendak membuat penilaian mengenai pengurusan ekonomi kerajaan baharu secara mutlak, masih tidak boleh kerana mereka baru setahun memerintah bagaimanapun ada beberapa pembacaan yang boleh dibuat dan PH boleh mengambil perhatian.

Secara imbasan, hampir 30 tahun lalu Tun Dr. Mahathir Mohamad ada menyebut mengenai Wawasan 2020, dalam ucapan itu Dr. Mahathir banyak menyebut mengenai harapan dan wawasan yang diimpikan oleh seorang pemimpin. Ketika itu beliau ada menyebut mengenai pertumbuhan ekonomi yang akan menjadi lapan kali lebih besar dan pendapatan empat kali lebih tinggi. Pada masa sama, dalam ucapan itu juga digariskan ciri-ciri kualitatif supaya Malaysia menjadi negara maju dengan acuan sendiri seperti dalam konteks perpaduan, mengambil berat, toleransi, keyakinan moral dan etika. Namun begitu, apa yang berlaku selepas itu penterjemahan ini lebih banyak berlaku dari sudut ekonomi sehingga meminggirkan usaha untuk meletakkan ciri-ciri kualitatif.

Dari segi pertumbuhan ekonomi kita tidak mempunyai masalah, secara purata sejak 30 tahun lalu pertumbuhan ekonomi hampir 5.8 peratus walaupun berlaku krisis pada 1997 dan 1998. Cuma perkara yang menjadi kebimbangan kita pada hari ini adakah momentum pertumbuhan ekonomi kita akan terus berada pada paras 5.8 peratus atau angka lain? Contohnya pertumbuhan terkini ialah 4.7 peratus, adakah angka ini disebabkan faktor antarabangsa semata-mata atau pun ada perkara dalaman yang mempengaruhinya?

Sejak akhir-akhir ini pasaran saham dan mata wang negara mengalami kejatuhan, adakah ini isyarat tidak baik?

NOOR AZLAN: Kejatuhan pasaran saham pada hari ini sebenarnya memberikan petunjuk ekonomi untuk masa akan datang. Antara perkara yang perlu lihat adakah kejatuhan saham sehingga 14 peratus dan penyusutan nilai mata ringgit turut melibatkan isu dalam negara.

Bagi pelabur luar negara, sebelum mereka membuat pelaburan ke mana-mana negara mereka akan menilai terlebih dahulu kestabilan politik negara berkenaan. Saya merasakan beberapa petunjuk awal ini terdapat kesangsian pelabur pada kestabilan ekonomi negara, isu kestabilan politik masih belum selesai sebab itu pelabur keluar.

Selain itu, ada pihak melihat kejatuhan ini disebabkan AS menurunkan kadar faedah mereka tetapi jika kejatuhan ini terus konsisten kita risau jika sebenarnya pelabur hilang keyakinan kepada negara. Saya tidak kata semua yang dilakukan adalah salah tetapi petunjuk-petunjuk ini menunjukkan supaya kerajaan dapat memberikan polisi yang lebih diyakini dan melihatnya sebagai satu cabaran.

Faktor manifesto PH juga memainkan peranan, bila saya lihat semula dalam manifesto ini terdapat 60 janji dan sebahagian besar melibatkan hal ehwal ekonomi, sebab itu saya tegas dalam pendirian bahawa janji manifesto perlu dilaksanakan. Sebelum ini, Dr. Mahathir dalam beberapa kenyataan ada menyebut bahawa dari sudut ekonomi beberapa perkara wajar dilihat semula. Bagi saya kalau perkara itu mendatangkan mudarat kepada negara lebih baik jangan seperti hendak beri tol percuma, perkara ini perlu difikir implikasinya, janji itu memang manis tetapi hendak melaksanakannya boleh memberikan kesan kepada banyak pihak yang bukan sahaja hari ini tetapi juga pada masa hadapan.

Adakah manifesto yang ditawarkan sebelum ini tidak berdaya maju?

NOOR AZLAN: Ada antaranya tidak berdaya maju dan ada antaranya tidak wajar dilaksanakan dari sudut ekonomi contohnya sistem pendidikan percuma dan perkara percuma lain. Sebagai manusia kalau bagi perkara percuma pasti kita suka tetapi hakikatnya tiada benda percuma, yang percuma itu mungkin individu itu tidak bayar tetapi ada pihak lain yang membayarkan untuknya.

Apabila orang membuat perbandingan dengan sistem pendidikan percuma misalnya di Finland mereka kena faham untuk merealisasikannya kerajaan perlu memungut cukai dengan mengenakan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tinggi. Bagaimanapun, penduduk di negara-negara berkenaan bersetuju dengan kaedah ini supaya ia dapat diterjemahkan untuk memberikan pendidikan, perubatan dan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Bagaimana pula kadar hutang negara, adakah membimbangkan?

NOOR AZLAN: Sebenarnya, banyak negara yang ada kadar hutang keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencecah sehingga 70 hingga 80 peratus tetapi negara-negara ini sangat maju seperti AS, Perancis dan United Kingdom. Isunya di sini bukan peratus hutang tetapi kewajaran hutang itu.

Di Malaysia, angka hutang negara yang disebut oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ialah RM686 bilion pada suku keempat 2017 atau pun zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi saya ini nombor rasmi angka-angka lain yang disebut adalah tidak rasmi.

Bagaimanapun, yang menariknya tahun lalu kalau kita tengok semula hutang negara, sebenarnya kerajaan PH pun meningkatkan jumlah hutang, paling terkini dalam data BNM pada suku keempat 2018 hutang negara ialah RM741 bilion, hutang negara telah meningkat RM54.3 bilion sebab itu saya merasakan isu jumlah hutang telah disalah tafsir. Apabila kerajaan berhutang dengan keperluan yang betul dan keupayaan membayar balik dengan betul, itu tidak menjadi masalah. Kita tidak boleh menyasarkan hutang sifar. Tiada negara yang ada hutang sifar.

Bagaimana pula pinjaman bon dari Jepun?

NOOR AZLAN: Terdapat dua isu mengenai hutang negara, pertama berapa lama hutang dan hutang dari mana. Kalau hutang jangka masa pendek yang perlu kita risau adakah kita mampu membayarnya pada tahun hadapan, kalau tempoh 30 tahun sudah tentu tiada masalah. Di Malaysia kematangan hutang tiada masalah sebab hutang-hutang ini dibuat dalam tempoh jangka masa panjang.

Isu kedua ialah hutang negara dari mana, dalam atau luar negara? Rata-rata hutang negara dari dalam negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), institusi kewangan dalam negara dan syarikat insurans yang membeli hutang kerajaan, jadi mata wang yang terlibat ialah ringgit sahaja tetapi apabila pinjaman dari luar negara dibuat maka ada dua mata wang terlibat, jika kadar tukaran kita kuat tiada masalah tetapi jika kadar tukaran jatuh ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

Bagaimana pula pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), adakah harga barang turun sekarang?

NOOR AZLAN: Secara keseluruhan harga tidak turun, matlamat sistem percukaian perlu difahami. Apabila GST diperkenalkan memang betul ada kenaikan harga tetapi selepas itu harga stabil semula. Isu harga bukan isu GST, isu harga berlaku sebelum GST lagi, isu ini lebih kepada rantaian bekalan, persaingan dan produktiviti negara.

Disebabkan itu apabila SST diperkenalkan dengan tujuan untuk menurunkan harga, memang ia tidak akan berjaya. Matlamat sistem percukaian bukan untuk menurunkan harga ada faktor lain lagi yang menyebabkan harga naik.

Maaf jika saya sebut, subjek cukai telah dirampas menjadi subjek politik, jadi ahli-ahli ekonomi macam kami sudah kelu untuk membuat penerangan. Memang betul, tiada siapa pun yang suka dikenakan cukai tetapi pada sama mereka perlu faham bagaimana untuk menyediakan kemudahan seperti lampu jalan, rumput dipotong, jalan yang elok dan peralatan sekolah sekiranya tiada siapa pun yang hendak menanggung kos ini.

Sepatutnya GST ditambah baik kerana ia adalah sistem baharu dan mungkin ada masalah sedikit, tetapi apabila dihapuskan memang sukar untuk dilaksanakannya semula.

Sejak akhir-akhir ini banyak aset negara dijual, mengapa ia berlaku?

NOOR AZLAN: Berdasarkan laporan media banyak aset negara telah dijual, secara jujur saya tidak tahu tujuannya, apabila masyarakat tidak tahu kerajaan PH perlu ambil peduli untuk maklumkan kepada rakyat.

Saya tidak kata penjualan ini tidak baik tetapi jika terlalu kerap dijual rakyat pun hendak tahu sebabnya. Sebagai contoh isu pergabungan Axiata dan Telenor yang merupakan sebuah syarikat dari Norway, rakyat mahu tahu kenapa ia dijual. Situasi ini samalah jika saya menjual kereta, rumah dan sebagainya pasti orang akan beranggapan saya mempunyai masalah dan kamu tidak boleh menyalahkan orang jika beranggapan sedemikian tetapi jika kamu jelaskan yang kereta dan rumah ini dijual sebab hendak pindah ke luar negara, itu tidak menjadi masalah. Jadi, tindakan menjual dengan memberikan alasan yang kukuh masih boleh diterima dan tidak menyebabkan panik.

Kita menghormati keputusan kerajaan tetapi bagi tahulah kenapa ia dijual termasuk isu melibatkan Tabung Haji dan Felda, kalau penerangan diberikan dengan baik insya-Allah rakyat dapat menerima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini